Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Umno - Barisan Nasional (BN) sedia mengadakan perbincangan
untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS jika parti itu mahu keluar
daripada Pakatan Rakyat (PR).
Jelas Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz
perkara mustahak adalah menyelesaikan isu rakyat bukannya melibatkan
rakyat negeri itu dalam kemelut yang sedang bergolak terutama isu
membabitkan Menteri Besar negeri itu.
Beliau dalam masa sama menegaskan parti itu tidak berniat untuk
mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalaman PR yang kelihatannya
tidak sependapat dengan keputusan untuk menukar Tan Sri Khalid Ibrahim
dengan Presiden PKR Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail.
"Demi kebaikan rakyat Umno sedia untuk berbincang tentang perkara ini (kerjasama Umno - PAS).
"Kalau sudah tidak ada persefahaman PAS dengan PR, kita Umno bukan nak
menangguk di air yang keruh tapi kita lebih mementingkan kepentingan
terhadap rakyat.
"Banyak perkara pokok yang penting untuk diselesaikan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
Untuk rekod, satu paparan skrin aplikasi mesej Whatapps yang
mendedahkan pemimpin jawatankuasa PAS pusat secara aktif membincangkan
mengenai kemungkinan parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR)
terdedah.
Dalam masa yang sama, ahli jawatankuasa PAS Mod Zuhdi Marzuki
mengutarakan cadangan untuk bekerjasama dengan Umno - BN di negeri itu.
Mohd Zuhdi menggariskan satu senario bagaimana PAS boleh keluar
daripada PR kemudian membentuk satu kerajaan dengan majoriti mudah di
DUN Selangor melalui bantuan Umno pada masa yang sama mengekalkan Tan
Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dalam
pada itu mengambil sikap terbuka dengan pandangan yang dilontarkan ahli
jawatankuaa PAS itu menerusi 'Whatsapp'.
Tambahnya dalam arena politik, apa juga situasi atau senario tidak
mustahil untuk menjadi kenyataan serta senada dengan Setiausahanya
bahawa rakyat perlu diutamakan.
"Semua orang boleh bagi pandangan.
"Whatsapp ni sesiapa boleh tulis, tapi dalam politik tidak ada yang mustahil," jelasnya.
Sebelum ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama
isterinya Wan Azizah sebagai pengganti yang layak untuk memegang jawatan
Menteri Besar.
Perbezaan dalam PAS itu dilihat apabila Presidennya Datuk Seri Abdul
Hadi Awang mahu Khalid kekal sebagai Menteri Besar, sebaliknya
Timbalannya Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar
mempertikaikan pendirian itu secara terbuka.
Mengulas pendirian yang bercanggah itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan
Eng memberi bayangan PR akan berpecah disebabkan kemelut Menteri Besar
di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan