HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

Denda pemberi sedekah bukan penyelesaian atasi gelandangan - Kadir Jasin

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Undang-undang atau peraturan mendenda pemberi sedekah tidak perlu diwujudkan sekiranya kerajaan mengetatkan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada dalam membendung gejala pengemis dan gelandangan.
 
Penganalisis politik, Datuk Kadir Jasin berkata, pokok pangkalnya dalam menangani isu ini, kerajaan perlu memberi penekanan kepada sistem kebajikan masyarakat, sistem ekonomi dan kawalan sempadan yang dilihat gagal sehingga menjadi punca kepada pertambahan bilangan peminta sedekah. 
 
"Kegagalan sistem kebajikan masyarakat, kegagalan ekonomi membahagikan kekayaan sebaik mungkin kepada rakyat jelata, kegagalan kawalan sempadan sehingga menyebabkan begitu banyak pengemis asing masuk secara haram," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan kerajaan mewujudkan peraturan bagi mendenda pemberi sedekah di ibu negara bagi mengatasi masalah itu. 
 
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa pemberi dan peminta sedekah bakal berhadapan dengan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.
 
Kata Tengku Adnan, kementeriannya juga akan memperketat undang-undang bagi mengatasi masalah ini, seterusnya merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan itu.
 
Antara cadangan undang-undang baru itu adalah mengenakan denda RM150 kepada pemberi sedekah. 
 
Mengulas lanjut berhubung langkah kerajaan itu, tambah Kadir, beliau bersetuju sekiranya langkah tersebut mampu menjamin bahawa tidak ada lagi orang yang perlu mengemis untuk meneruskan kelangsungan hidup. 
 
"Kalau tidak ada orang yang minta sedekah, tentulah tidak ada orang yang memberi sedekah. Saya sokong seratus peratus, kalau kerajaan boleh menjamin bahawa tidak ada seorang pun yang perlu meminta sedekah untuk hidup di Malaysia ini.
 
"Kalau kerajaan boleh menjamin bahawa tidak ada orang yang perlu mengemis untuk hidup, kita tak perlu pun ada undang-undang ini," katanya lagi.
 
Tambah bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times Sdn Bhd ini lagi, pemberi sedekah tidak patut dipersalahkan kerana mereka adalah golongan yang tinggi dengan sifat perikemanusiaan dan simpati.
 
"Kita perlu menghukum orang yang diberi amanah tapi tidak menjalankan amanah. Apa jadi dengan duit zakat kita, ini bagi pengemis Islam. Sebab itu ramai orang tak suka bayar zakat kepada jabatan zakat. Dia lebih suka beri secara terus, dia tahu di mana ibu tunggal, orang susah dia terus cari.
 
"Saya rasa penderma, orang yang bayar zakat, dia lebih tahu di mana ada orang miskin berbanding pegawai jabatan kebajikan masyarakat," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: