HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Julai 2014

Abdul Hadi 'Hidupkan' Fadzil Noor

DETIK DAILY


PADA suatu malam ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, kehadiran penduruk di daerah Kuala Selangor itu tidaklah begitu besar. Sederhana saja, malah ia mungkin tidak seramai kehadiran kuliah mingguan guru agama di sebuah surau berhampiran

Tarikan utama pada malam itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan rakannya yang mewakili Kuala Selangor, Dr Zulkifley Ahmad.

Suasana yang hambar akibat kupasan penceramah awal bertukar menjadi panas selepas giliran Khalid tiba untuk ke pentas. Khalid yang baru pulang dari sidang parlimen menceritakan pelbagai isu semasa menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Antara yang menarik perhatian ialah kenyataan Khalid bahawa hayat Umno ketika itu sudah sampai ke penghujungnya. Tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan parti berkenaan.

Kata Khalid, hayat Umno tidak akan kekal lama kerana kepemimpinannya "telah menekan butang pemusnahan diri" (self destruction).

Kini, selepas PRU ke-13 berlalu, PAS bagaikan tidak mahu ketinggalan untuk menekan butang yang sama.

Satu demi satu tindakan dilakukan kepemimpinan tertinggi parti itu jelas membuat ahli dan penyokong resah dari sehari ke sehari.

Masalahnya, kata seorang ahli PAS, keterlajuran itu bukan sekali dua dilakukan, malah berkali-kali.

"Seolah-olah mereka tidak pernah belajar atau serik," katanya.

Memang secara realitinya dakwaan itu ada benarnya.



Jika dapat diimbas kembali, hanya beberapa hari menjelang PRU 2013, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggemparkan penyokong Pakatan Rakyat (PR) dengan membuat tuduhan kepada calon rakan sekutunya di Terengganu.

Dakwaan itu tidak dibuktikan di mahkamah, sebaliknya Abdul Hadi yang diperintah hakim membayar ganti rugi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit - sebelum prosedur susulan membatalkan arahan berkenaan.

Kini Abdul Hadi dan beberapa pemimpin PAS membuat gempar lagi. Ketika PKR bergelut sesama sendiri untuk menuntaskan pemilihan parti di peringkat cabang dan Pusat, Abdul Hadi nampak tidak berfikir lama menyertai kekalutan itu dengan mengulas isu peralihan kepemimpinan negeri Selangor.

Memang sudah diduga pemerhati bahawa Abdul Hadi akan kekal menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tetapi ia tidaklah sepantas dan senekad itu.

Tanpa menunggu mesyuarat yang dikatakan akan diadakan pada 10 Ogos ini, Abdul Hadi menolak cadangan PKR mahu menggantikan Abdul Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, walaupun menteri besar sedia ada sudah tidak diyakini oleh partinya sendiri.

Kekalutan itu semakin mendalam apabila nama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diheret sama sebelum diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Dewan Ulama PAS Pusat.

Sekadar menambah garam pada luka, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengulas kemungkinan PAS keluar meninggalkan PR. Bagaimana Mohd Zuhdi mempertahankan diri adalah isu kedua.

Dalam keadaan keliru, marah dan bosan, ramai ahli serta penyokong PAS secara spontan terkenang kepada presiden terdahulu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor atau lebih mesra disapa Ustaz Fadzil.

Kehebatan, karisma dan ketajaman fikiran mantan presiden itu memang diakui rakan dan lawan.

                   Orang ramai memenuhi ruang semenara menunggu ketibaan jenazah Fadzil .

Pemimpin  kelahiran Kedah berkelulusan Universiti al-Azhar di Mesir itu biasanya sentiasa tenang jika berdepan dengan sesuatu isu.

Beliau dikenali sebagai tokoh berpandangan jauh dan memiliki sentuhan politik cukup memukau, penuh hikmah.

Memang sesekali pendekatan Allahyarham sukar diterima penyokong Pas pada peringkat awal.

Penulis, Ahmad Lutfi Othman turut menggambarkan beliau sebagai lambang pemimpin gerakan Islam dan ketua parti politik Islam yang bijak mengatur langkah dan memanfaatkan senario sekeliling.

Sekurang-kurangnya dua peristiwa besar politik negara berjaya ditangani dengan penuh berhikmah ketika hayatnya.

Pertama, konflik dalaman Umno yang membuatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Team B terkeluar sebelum membentuk Semangat 46. Pandangan jauh Almarhum terserlah apabila gagasan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dibentuk bagi memastikan pembangkang turun satu lawan satu menentang Barisan Nasional ketika Pas tidak boleh duduk semeja dengan DAP.

Sebenarnya, ketika hayatnya pemimpin PAS itu berdepan dengan kritikan dari dalam parti sendiri sebelum APU dibentuk. Namun kebijaksanaan beliau mengatasi segala rintangan itu dan PAS kekal kukuh.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan pada 2 September 1998, allahyarham sekali lagi bertindak pantas apabila beliau diberitakan mengunjungi Anwar di rumahnya tanpa merujuk kepada parti.

Namun kesan dua peristiwa itu begitu memberansangkan, sekaligus membawa PAS ke dalam aliran perdana percaturan politik negara.

Untuk kali pertama - mungkin - PAS menjadi begitu ke depan dan direstui pelbagai pihak apabila menyatukan parti politik serta gerakan sivil di bawah gerakan bersama 'membela' Anwar.

Ironinya, jika Fadzil membina kekuatan pembangkang, Abdul Hadi kini dilihat merosakkannya. Dan Barisan Nasional sebenarnya tidak perlu berbuat apa-apa sekarang, sebaliknya bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan di sekurang-kurangnya satu lagi negeri. Mstar

Tiada ulasan: