Bantuan ubat-ubatan yang disalurkan kepada mangsa peperangan di Gaza. Bantuan ubat-ubatan yang disalurkan kepada mangsa peperangan di Gaza.


SHAH ALAM - Sebanyak 16 lori yang membawa bantuan berupa ubat-ubatan kepada mangsa kekejaman rejim Zionis berjaya di bawa masuk ke Gaza setelah tempoh gencatan senjata sementara diumumkan kelmarin.

Pengerusi Lembaga Amanah Aqsa Syarif, Prof Madya Doktor Hafidzi Mohd Nor berkata, ubatan tersebut adalah hasil sumbangan daripada pelbagai persatuan perubatan yang disenaraikan di bawah gabungan Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA).

Menurutnya, bantuan yang disalurkan kepada mangsa peperangan di Gaza termasuk peralatan perubatan untuk situasi peperangan yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 “Kebanyakan keperluan perubatan yang diterima termasuk alat pembedahan dan yang paling utama ialah kelengkapan pemindahan darah (Intravenous Line) kerana kebanyakan mangsa di Gaza kehilangan banyak darah.

“Bantuan ubatan dan kelengkapan tersebut akan diserahkan kepada Kem Kesihatan di Gaza untuk diagihkan kepada hospital yang terjejas,” katanya.

Namun, katanya, sukarelawan seperti doktor dan pegawai perubatan masih belum dibenarkan masuk akibat pihak Mesir yang menghalang mereka di sempadan pintu Rafah.

“Hanya bantuan ubatan sahaja yang berjaya masuk ke Gaza dalam tempoh beberapa jam gencatan senjata dan pekerja kemanusiaan masih belum boleh menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas,” katanya.

Kata Hafidzi, pihak Aqsa Syarif juga telah menyumbang empat buah ambulans yang berharga RM360,000 yang dibeli sepenuhnya hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui tabung operasi Badar.

“Saya menyeru kepada seluruh anggota masyarakat yang bersimpati terhadap nasib mangsa peperangan di Gaza yang kini keadaan makin meruncing supaya tampil menghulur bantuan bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulur bantuan boleh memberikan sumbangan secara berpakej ke akaun Maybank Islamic bernombor 551575-004299 atau akaun Bank Islam 1209-20100-34904.