HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Julai 2014

Rumah terbuka: Amalan 'balas dendam' undang masalah

HASNAH JUSID



KUALA LUMPUR: Pemakanan sihat dan bersederhana pada majlis rumah terbuka khususnya ketika Aidilfitri perlu dititikberatkan oleh orang ramai bagi mengelak pelbagai penyakit.

Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Aryati Ahmad berkata ini kerana juadah yang disediakan di rumah terbuka kebanyakannya mengandungi kandungan lemak dan gula yang tinggi.
  
"Minuman ringan bergas, air kordial, biskut raya, kek dan tapai kalau diambil berlebihan boleh meningkatkan gula dan lemak darah selain boleh menambah berat badan akibat kandungan kalori yang tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Katanya makanan berat seperti nasi minyak, nasi tomato, nasi dagang dan rendang pula mempunyai lemak tepu yang jika diambil berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tahap kolestrol, kolestrol 'jahat' atau 'low density lipoprotein' dan lemak dalam darah.
  
"Ini menyebabkan masalah kesihatan seperti pedih ulu hati, sembelit, gastrik akibat pengambilan makanan dan cara makan yang salah," katanya.
      
Memandangkan ada yang menerima jemputan menghadiri dua atau tiga rumah terbuka pada satu-satu masa, Dr Aryati menyarankan mereka hanya menjamu selera dalam kuantiti sedikit.
  
"Tidak salah untuk merasa setiap jenis makanan tetapi kena jaga kuantiti supaya tidak berlebihan selain meningkatkan aktiviti fizikal seperti meletak kereta jauh dari rumah terbuka untuk menggalakkan aktiviti berjalan kaki sebagai satu senaman," katanya.
  
Katanya sudah menjadi lumrah masyarakat menyediakan hidangan yang mewah dan pelbagai namun alasan untuk 'membalas dendam' setelah sebulan berpuasa dengan makan berlebihan adalah tidak wajar kerana hanya menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan.
  
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka yang ingin menghadiri rumah terbuka supaya memilih makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  
Beliau turut menyarankan supaya pengambilan makanan jenis karbohidrat seperti ketupat, mi dan nasi diambil dalam kuantiti sedikit.  
  
"Kalau boleh pilih nasi putih berbanding nasi minyak dan pilih bihun berbanding mi kuning manakala untuk makanan berkuah seperti mi kari dan mi bandung, kurangkan menghirup kuahnya," kata Dr Aryati.
  
Menurutnya beberapa langkah praktikal boleh diambil sebelum mengunjungi rumah terbuka untuk mengawal pengambilan makanan berlebihan.
  
Ini termasuk meminum air kosong, tidak menghadiri rumah terbuka ketika lapar dan menggunakan pinggan dan gelas yang kecil.
  
"Ini bertujuan mengelakkan kita terlalu mengikut nafsu apabila melihat hidangan makanan. Apabila kita guna pinggan yang kecil, kita akan cenderung mengambil makanan dalam kuantiti kecil," tambahnya. - Bernama

Tiada ulasan: