HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Julai 2014

Biarlah Kami Disini Sahaja - Bekas Penagih

pengasih
Membaca al-Quran merupakan antara aktiviti penghuni beragama Islam di rumah Pengasih. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI / THE STAR

 
 
 
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan kita membuat persiapan raya dan pulang bercuti ke kampung halaman untuk bersama keluarga, namun masih ada yang dengan rela hati menyambut Aidilfitri tanpa insan tersayang di sisi.

Biarlah tidak berhari raya bersama ibu bapa, isteri atau suami mahupun anak-anak, asalkan mereka dapat menahan diri daripada dugaan dan cabaran duniawi.

Begitulah pengorbanan segelintir penghuni rumah rawatan dan perlindungan untuk bekas penagih dadah, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di seluruh negara.

Lan (bukan nama sebenar), 39, berkata, ini kali pertama dia menyambut Aidilfitri tanpa keluarga selepas menghuni rumah Pengasih sejak Mei lalu.

“Saya tak mohon untuk balik bercuti hari raya. Bukan tak mahu beraya bersama keluarga tetapi biarlah saya tinggal di sini dahulu.

“Saya takut kalau kat luar nanti, saya akan kembali kepada perkara lama (menagih dadah),” katanya ketika ditemui mStar Online di rumah Pengasih di sini.

 
 
Lan (bukan nama sebenar) antara penghuni rumah Pengasih yang tidak memohon cuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
 
Lan yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak pernah melupakan keluarganya terutama isteri dan tiga anak perempuannya.

Dia juga meminta supaya mana-mana ahli keluarganya tidak datang melawatnya di rumah Pengasih pada hari raya.

“Kalau boleh, saya tidak mahu mereka datang (melawat). Takut nanti saya akan teringatkan mereka, nanti saya rasa sedih dan rasa tertekan.

“Biarlah saya rasa selesa dan menjalani pemulihan di sini dahulu, bila sudah bersedia nanti baharu saya akan keluar dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

 
 
Azmin (bukan nama sebenar) (kiri) memberitahu mStar Online bahawa ini merupakan kali kedua dia menyambut hari raya di rumah Pengasih.
 
Bagi Azmin (bukan nama sebenar), 58, dari Gombak pula, hari raya kali ini adalah yang kedua dia menyambut Aidilfitri di rumah Pengasih, sebelum ini dia pernah menjalani pemulihan selama enam bulan pada 2004 dan seterusnya pada 2010.

“Ini tahun ketiga saya berada di rumah Pengasih. Mungkin saya tak cukup kuat (pengaruh dadah) tetapi saya masuk semula ke sini dengan harapan untuk berubah.

“Saya memang tak bercadang untuk pulang berhari raya bersama keluarga. Buat masa ini, saya lebih gembira berada di sini berbanding di luar.

“Di sini ada ramai kawan. Kami menyambut hari raya seperti biasa. Masih pakai baju Melayu. Ada juga makan ketupat, lemang dan rendang,” kata Azmin yang mempunyai lima  anak.

Mengenai keluarga yang melawat pada hari raya, Azmin berkata: “Biasanya, anak-anak datang dua kali sebulan. Tapi kalau hari raya kali ini mereka nak datang, datanglah. Kalau tak datang pun saya tak kisah. Saya terima saja, yang penting mereka gembira berhari raya walaupun tanpa kehadiran saya.”

Bagaimanapun berbeza dengan Fahmi (bukan nama sebenar), 29, dari Kemaman, Terengganu yang tidak sabar-sabar untuk berhari raya bersama keluarga dan saudara-maranya.

 
 
Fahmi (bukan nama sebenar) akan beraya bersama keluarga di Johor Bahru pada hari raya keempat.
Peluang bersama keluarga seharusnya tidak dilepaskan anak bongsu daripada tiga beradik ini dan mengharapkan hari raya kali ini penuh bermakna.

“Pada hari raya keempat nanti, saya dan keluarga dari Kemaman akan pulang ke kampung sebelah ayah di Johor Bahru.

“Saya yakin sudah bersedia untuk berdepan dunia sebenar. Masa bersama keluarga pada hari raya ini diharap menjadi penyokong untuk saya membina kehidupan baharu lebih baik,” katanya yang menghuni rumah Pengasih sejak Februari lalu.

Tiada ulasan: