HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

PAS dan KPI Khalid Ibrahim

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM :  Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Majlis Ulama dan Murshidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat tentunya mempunyai KPI sendiri untuk menilai kesesuaian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor.
 
Menurut mereka, Selangor makmur di bawah Khalid dan menteri besar itu bebas daripada skandal dan rasuah, justeru patut dikekalkan sebagai MB. 
 
PAS berhak mengeluarkan pandangan sedemikian, lebih-lebih lagi kerana ia parti pembangkang terbesar di dalam Pakatan Rakyat yang membawa kekuatan tersendiri. 
 
PKR dan DAP patut menghormati pandangan PAS itu sebagai rakan komponen dalam pakatan pembangkang itu. 
 
Bahawa PAS mendapati Khalid adalah bersih dan suci untuk terus menjadi MB boleh dipertikaikan, khususnya oleh PKR dan DAP. 
 
Namun persoalan tidak perlu menjurus kepada sudut itu.  
 
Sebaliknya ia perlu berpaksi kepada sama ada PKR mempunyai kata putus dalam menentukan siapa yang harus mengisi kerusi MB, tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor.  
 
Pada tahun 2004 dan 2008, PKR mencalonkan Khalid sebagai MB dan keputusan itu diterima sebulat suara oleh DAP dan PAS.
 
DAP dan PAS menyokong  keputusan itu bukan kerana mereka menentang  mana-mana calon lain daripada PKR, tetapi kerana menghormati hak PKR untuk menentukan siapa menjadi MB Selangor. 
 
Di bawah permuafakatan ini juga,  DAP diberikan tiket menentukan calon Ketua Menteri di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan serta Kedah. 
 
PKR dan DAP juga memberikan laluan untuk PAS menetapkan calon menteri besar di Perak di bawah semangat permuafakatan itu. 
 
Permuafakatan ini menjadi asas kepada konsep perkongsian kuasa yang berasaskan kepada kerjasama antara parti, bukan kepada sokongan untuk calon tertentu daripada parti berkenaan. 
 
Dalam krisis Selangor,  Khalid ditolak oleh PKR namun beliau enggan meletak jawatan sebagai MB sebagaimana yang diarahkan oleh Majlis Pimpinan Pusat parti itu sejak beberapa bulan lalu. 
 
Keputusan rasmi PKR adalah Khalid harus digantikan dengan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 
 
Apabila keputusan ini di bawa kepada Pakatan Rakyat untuk mendapatkan pengesahan,  DAP menerimanya, bukan kerana ia benci Khalid atau pro-Anwar Ibrahim tetapi kerana ia keputusan rasmi PKR.
 
Sebagai menghormati permuafakatan yang berasaskan sokongan untuk apa-apa keputusan-keputusan rasmi parti komponen, maka DAP memberi persetujuan kepada peralihan kuasa di Selangor. 
 
Lain ceritanya dengan PAS. Dalam memberikan sokongan terbuka kepada Khalid untuk kekal sebagai MB, PAS membelakangkan konsep permuafakatan Pakatan Rakyat. 
 
PAS menolak keputusan rasmi PKR, sebuah parti komponen dan memilih untuk memberi sokongan kepada  seorang individu yang di tolak oleh parti itu. 
 
Dengan berbuat demikian PAS bukan saja mempersoalkan hak PKR menentukan kerusi MB Selangor tetapi juga menolak asas kerjasama antara parti yang membentuk  Pakatan Rakyat. 
 
Setakat ini pemimpin-pemimpin PKR dan PAS secara terbuka cuba memberi gambaran bahawa kemelut terbaru ini tidak akan menjejaskan Pakatan Rakyat. 
 
Namun DAP mungkin lebih jujur dalam isu ini.
 
Setiausaha Agongnya Lim Guan Eng berkata Pakatan mungkin berpecah kerana tindakan satu parti membelakangkan keputusan-keputusan yang diambil dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.  
 
Dalam sifir politik Guan Eng,  PAS tidak boleh dipercayai sekarang dan pada masa akan datang jika ia mencerobohi sempadan dan hak parti komponen lain mencapai keputusan dalam lingkungan bidang kuasa mereka. 
 
Syak wasangka dalam Pakatan Rakyat dalam isu Khalid, jika dibiarkan, akan bercambah dan membesar menjelang pilihan raya umum ke 14, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat terhadap gagasan itu. 
 
PAS harus memutuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti 10 Ogos ini sama ada ia sanggup membayar harga begitu tinggi, semata-mata kerana memberikan markah terlalu tinggi untuk KPI Khalid. 

Tiada ulasan: