HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

PR mahu elak Pilihan Raya Negeri di Selangor

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) dilaporkan berusaha untuk mengelak Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di Selangor bagi mengatasi kemelut jawatan Menteri Besar yang meretakkan hubungan pimpinan PAS dan PKR.
 
Cubaan PKR untuk meletakkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  sebagai MB menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditolak oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Majlis Ulama dan Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz.
  
Bantahan itu, jika diangkat sebagai pendirian rasmi PAS, mungkin memaksa PKR mengusulkan undi tidak percayai terhadap Khalid dalam DUN Selangor namun pimpinan Pakatan di percayai sedang cuba mengelakkan keadaan sedemikian.
 
Ini kerana usul berkenaan akan menyerlahkan perpecahan PKR-PAS dengan PKR mendapat sokongan DAP manakala PAS  bersekongkol dengan Umno-Barisan Nasional,  akhbar  Malay Mail melaporkan.
 
 “Jika usul tidak percaya terhadap Khalid dibentangkan, kemungkinan besar kedua-dua pihak (PKR dan PAS) mendapat jumlah undi sama,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
 
PKR dan DAP mungkin meraih 28 daripada 56 undi dalam DUN Selangor, manakala PAS dan BN bersama Khalid dijangka turut mempunyai 28 undi.
 
“Dalam keadaan sebegitu, ia memberi asas kukuh untuk pilihan raya negeri mengejut di adakan,” Khalid dipetik berkata.
 
Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng sebelum ini memberi amaran PR mungkin berpecah akibat tindakan PAS membelakangkan keputusan yang di capai pada mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu.
 
PAS menafikan ia memberi persetujuan kepada PKR untuk menggantikan Khalid sungguhpun parti itu (PKR) menerajui kerajaan Selangor.
 
Khalid berkata PRN mengejut hanya perlu dipertimbangkan sebagai jalan terakhir memecah kebuntuan isu itu.
 
 “Jika pilihan raya mengejut berlaku, ia bermakna PAS sudah putus asa untuk memberi keutamaan kepada hubungan parti dengan Pakatan Rakyat.  Jika ini berlaku, bermakna PAS keluar daripada PR.
 
 “Isunya berpaksi kepada sama ada PAS memilih Pakatan atau Khalid. Jika PAS memilih Khalid, ia menanggung risiko memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP yang bersetuju untuk Khalid digantikan,” tambah beliau.
 
Ahli Parlimen PAS itu berkata beliau terkejut dengan keputusan Hadi untuk menyatakan sokongan terbuka untuk Khalid.
 
Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata tindakan Hadi menolak cadangan PKR bukan sesuatu baru.
 
Beliau berkata PAS tidak selalu memberi kesetiaan bulat kepada Pakatan Rakyat dan di bawah kepimpinan Hadi,  parti itu kerap melayan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno.
 
 “Persoalannya ialah sejauh mana pemimpin PAS akan memberikan sokongan kepada Hadi dalam isu ini. Jika PAS mahu terus dalam Pakatan Rakyat, persoalan seterusnya ialah adakah Hadi layak terus diberi mandat memimpin parti itu,” kata Ibrahim.

Tiada ulasan: