HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2014

Isu Gaza bukan isu agama, tapi krisis kemanusiaan dan penjajahan

hari_alquds_masjid_negara_2014

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Masyarakat dunia kini mula menyuarakan sokongan kepada perjuangan rakyat Gaza melawan Israel, selepas berpuluh-puluh tahun dibantai tanpa pembelaan oleh rejim Zionis-Israel.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Rahim mengingatkan dunia perlu menyedari bahawa konflik Palestin-Israel adalah isu penindasan dan penjajahan, bukan pertembungan antara agama semata-mata.

“Kini ramai melihatnya sebagai isu rentas agama. Maka, orang yang memiliki hati nurani pasti akan membantah penindasan Zionis terhadap Gaza (dan Palestin) yang telah berlaku sekian lama,” katanya kepada Roketkini.com.

Menyifatkan kefahaman masyarakat dunia itu sebagai perkembangan yang baik, kata Mohamad Raimi, perubahan sokongan itu dapat dilihat melalui komen-komen di laman Facebook, serta protes-protes yang dihadiri berjumlah puluhan ribu peserta di seluruh dunia.

“Kita dapat melihat perkembangan ini melalui gambar dan komen di laman-laman sosial, serta ditambah dengan kegagalan media utama seperti CNN dalam menyebarkan propaganda mereka.

“Malah, masyarakat Yahudi di luar negara serta golongan akademik kini semakin lantang menyuarakan bantahan mereka,” katanya ketika ditemui di perhimpunan aman sempena Hari Al-Quds Sedunia di Masjid Negara tengahari tadi.

Kempen memboikot, memulau dan menyekat institusi akademik Israel semakin mendapat tempat. Antara badan yang menyertai kempen itu antaranya adalah  Association for Asian American Studies (Amerika Syarikat), Teachers Union of Ireland dan African Literature Association, serta ramai ahli akademik yang menyertainya secara individu.

Malah, saintis terkemuka Stephen Hawking turut menyatakan sokongan apabila menarik diri daripada persidangan yang dipengerusikan Presiden Israel ketika itu, Shimon Peres, di Jerusalem Jun lalu.

Dalam Himpunan Hari Al-Quds di Masjid Negara hari ini. ratusan peserta menyertai himpunan bagi membantah kezaliman rejim Zionis-Israel, yang disambut pada setiap Jumaat terakhir pada setiap bulan Ramadhan.

Selain ucapan dan tayangan video, turut diadakan bagi mengingati siri serangan adalah acara mendeklamasi puisi sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin di Gaza.

Serangan rejim Zionis-Israel kini masuk minggu ketiga, dengan lebih 700 kematian semenjak 9 Julai lalu.

Sehingga hari ini, kerajaan Umno-BN masih belum memperlihatkan ketegasan dalam isu serangan Israel di Gaza termasuk mengadakan sidang khas Parlimen, meskipun Malaysia adalah calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). – Roketkini.com

Tiada ulasan: