MALAYSIAKINI
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang menyiasat tujuh titik
panas yang dikesan di Sarawak oleh imej satelit Pentadbiran Atmosfera
dan Lautan Kebangsaan (NOAA)-18 Amerika Syarikat semalam.
Menterinya Datuk Seri G Palanivel berkata kerajaan juga tidak
teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang
melakukan kebakaran terbuka setelah siasatan terhadap kesemua kawasan
titik panas itu dijalankan.
Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang disiarkan dalam laman web
http://apims.doe.gov.my/ setakat pukul 6 petang tadi, kawasan Sibu,
Sarawak mencatat bacaan tidak sihat iaitu 135 IPU.
Bacaan IPU di Sri Aman dan Samarahan pula masing-masing 99 dan 92, masih
dalam kategori sederhana namun menghampiri paras tidak sihat.
Palanivel berkata NOAA-18 juga menunjukkan terdapat 98 titik panas
dikesan di Sumatera manakala 52 lagi di Kalimantan, Indonesia.
"Laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan pergerakan asap
jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Sumatera dan Kalimantan Barat
di Indonesia ke bahagian selatan Sarawak," katanya dalam kenyataan di
Kuala Lumpur hari ini.
IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat
(101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan