MH17


UTRECHT - Pasukan Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) Malaysia perlu membuat penelitian yang rumit dan mengambil masa lebih lama untuk pemprofilan cebisan tubuh mayat mangsa penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS).

Ketuanya Dr Mohd Shah Mahmud berkata adalah satu cabaran kepada pasukan 21 anggota itu untuk mengenal pasti identiti setiap mangsa yang memerlukan ketelitian di fasiliti ketenteraan Belanda di Hilversum.

 "Dalam satu kes kami terpaksa memeriksa satu rahang manusia dan prosesnya mengambil masa berjam-jam," beliau berkata kepada wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Penerbangan MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia 17 Julai, lepas.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai telah ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Dr Mohd Shah, perunding patologi Hospital Kuala Lumpur berkata terdapat dua kumpulan utama, satu kumpulan DVI terdiri daripada 200 anggota termasuk pasukan dari Malaysia dan satu lagi kumpulan siasatan jenayah.

Beliau berkata mayat akan diperiksa oleh kumpulan siasatan jenayah terlebih dahulu untuk mencari bukti seperti serpihan peluru berpandu menggunakan x-ray.

"Mayat boleh jadi seluruh tubuh atau bahagian-bahagian tubuh yang terkandung di dalam keranda dan mereka akan memeriksa satu demi satu," katanya.

Kemudian, mayat akan dibawa ke kumpulan DVI untuk diperiksa dan terdapat tiga proses pengenalan utama yang perlu dilaksanakan mereka.

"Proses itu adalah mengenal pasti cap jari, rekod pergigian atau Odontologi dan DNA, iaitu kami akan memotong satu cebisan tulang untuk diuji.  Kami juga perlu mengambil gambar mayat sebagai sebahagian daripada laporan kami," katanya sambil menambah prosedur itu adalah menurut standard antarabangsa DVI.

Beliau berkata pasukan antarabangsa lain turut terlibat termasuk dari Belgium, Jerman, Australia, Indonesia, New Zealand yang diketuai Belanda.

Anggota lain daripada Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia, Brig Jen Datuk Dr Mohd Ilham Haron berkata setiap mayat atau cebisan mayat dianggap sebagai satu kes dan akan ditandakan dengan angka.

 "Untuk mempercepatkan proses, 200 anggota pasukan itu dibahagikan kepada lima kumpulan untuk memeriksa kes-kes itu dalam barisan.

Tubuh atau cebisan manusia tidak akan dibedah siasat, kami memeriksa mayat sebagaimana keadaannya diterima.  Jumlah keranda tidak bersamaan dengan jumlah individu," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu turut diberikan sejarah perubatan, laporan Odontologi dan data DNA penumpang MH17 untuk diteliti dan dibandingkan dengan mayat dan proses itu dipanggil ante-mortem.

Beliau berkata pasukan itu juga memeriksa corak dan kesan kecederaan seperti tulang yang patah, kesan melecur akibat letupan, luka melecet dan unsur lain pada mayat kerana dipercayai pesawat ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu.

Dr Mohd Ilham berkata dalam proses itu akan ada petugas yang mengaudit penemuan bagi memastikan tiada yang terlepas perhatian atau tertinggal oleh pasukan DVI itu.

Beliau berkata setelah pengauditan selesai, laporan penemuan itu akan diserahkan kepada sebuah pasukan petugas khas pusat, termasuk Interpol yang berpangkalan di The Hague untuk pengesahan lanjut pengenalan mangsa termasuk keputusan DNA.
 "Kumpulan DVI tidak betul-betul mengetahui identiti sebenar mangsa," katanya. Beliau berkata pasukan itu bekerja dari pukul 8 pagi hingga 7 malam sebelum mereka berehat di kuarters tentera di situ.

Dr Mohd Shah berkata bagi memastikan kehormatan mayat terpelihara, pihak berkuasa tidak boleh mendedahkan pengenalan mangsa sehingga jika boleh kesemua bahagian tubuh mayat ditemui menjadi satu jasad lengkap.

Beliau berkata pasukan DVI Malaysia berpengalaman melaksanakan proses itu seperti yang dilakukan dalam Ops Daulat semasa sekumpulan militan dari Selatan Filipina menyusup masuk di sebuah kampung di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, Malaysia Februari tahun lepas.

"Kami melaksanakan proses DVI di sana tetapi kali ini di Belanda skalanya besar dan melibatkan sejumlah besar mayat," katanya.  - Bernama