KUALA LUMPUR: PAS menafikan ia memberi persetujuan kepada cadangan PKR
untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai yang didakwa
oleh ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan DAP hanya
bersetuju untuk merujuk cadangan Anwar itu kepada pucuk pimpinan parti
masing-masing dan tidak lebih daripada itu.
Komponen Pakatan Rakyat sepakat dan mencapai keputusan rasmi dalam
mesyuarat Majlis Pimpinan perikatan pada Rabu lalu dalam polemik
pertukaran Menteri Besar Selangor seperti mana didakwa PKR.
Sebaliknya Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PKR
hanya menyatakan hasrat atau cadangan rasmi mengenai pertukaran Menteri
Besar Selangor dalam mesyuarat itu.
" Kita menerima laporan dan hasrat PKR sahaja. Hasrat itu disampaikan
dalam mesyuarat Pakatan dan parti (PAS) akan bawa hasrat itu ke majlis
pimpinan, bukan (kita) terima dan tukar (Khalid).
"Kita terima keputusan mesyuarat PKR, mereka maklumkan (kepada kita)
sebab PKR tak pernah maklumkan secara rasmi kepada Pakatan Rakyat," kata
beliau kepada Antarapos.
"Jadi itu makluman rasmi dan semua parti kena bawa dalam mesyuarat
pimpinan masing-masing," tambah Tuan Ibrahim yang menghadiri mesyuarat
itu dengan lima lagi pemimpin kanan PAS termasuk timbalan presiden
Mohamad Sabu.
Selepas mesyuarat tiga jam itu, Anwar mengeluarkan kenyataan yang
mendakwa PAS dan DAP menghormati jawatan MB Selangor adalah hak PKR.
Kenyataan Anwar itu ditafsirkan sebagai kedua-dua parti itu bersetuju
akur kepada hak PKR untuk mencalonkan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail menggantikan Khalid sebagai MB Selangor.
Semalam, Setiausaha Agong PKR Datuk Saifuddin Nasution turut
menggunakan tafsiran itu apabila mendesak PAS menghormati mekanisme
Pakatan Rakyat dalam memilih pemimpin di negeri yang dikuasai gabungan
pembangkang itu.
"Mesyuarat itu membawa mandat dari parti masing-masing pada hari itu
(23 Julai) mengesahkan komitmen setiap parti bahawa pada dasarnya, PAS
dan DAP menghormati prinsip pencalonan jawatan menteri besar adalah dari
PKR," kata Saifuddin.
"Oleh yang demikian, PKR akan berpegang kepada keputusan rasmi Majlis
Pimpinan PR itu dalam hal pertukaran Menteri Besar Selangor," katanya.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menolak versi Saifuddin mengenai perjalanan
mesyuarat PR itu dan menegaskan PAS tidak pernah membuat keputusan akur
kepada hasrat PKR menggantikan Khalid.
"Tidak, kita tidak buat keputusan baru-baru ini...semua parti tidak buat keputusan," kata beliau.
"Cuma parti bersetuju bawa cadangan PKR itu dalam mesyuarat parti, jadi
parti ada hak dan kita tak buat keputusan dalam mesyuarat (Pakatan)
itu," katanya.
Beliau berkata PKR patut lebih memahami perkara itu dan bukan membuat keputusan sendiri.
"Saya rasa perkara itu jelas, ia bukan keputusan...kalau keputusan apa
penting bawa ke peringkat parti?Kalau dah itu keputusan, jadi tiada
kepentingan kita bawa kepada parti...semua sepakat nak bawa kepada parti
masing-masing, maknanya tiada keputusan." katanya.
Dua hari lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan
Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana menurut
beliau, Khalid tidak terpalit dengan skandal atau rasuah.
Kenyataan itu disokong oleh Murshidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat
hari ini yang menggesa semua ahli PAS memberikan sokongan kepada Hadi
dalam isu itu.
Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat pada 10 Ogos untuk membuat
keputusan muktamat berhubung jawatan Menteri Besar Selangor.
Tanpa sokongan PAS, laluan PKR semakin sukar mendapatkkan perkenan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk Wan Azizah
menggantikan Khalid.
PKR mempunyai 14 kerusi dalam DUN Selangor berbanding PAS dan DAP masing-masing 15 dan Barisan Nasional 12.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang lagi, berharap PKR tidak mensensasikan lagi polemik itu .
"Saya rasa PKR salah faham, saya tak nak komen tentang itu cuma
pandangan PAS-DAP sama iaitu kita akan bawa ke mesyuarat masing-masing.
"Itu yang parti akan bawa dalam mesyuarat Pakatan Rakyat nanti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan