DAP menyeru pimpinan Pas Pusat mengambil satu
pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Pengarah
Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki dan mengambil tindakan
yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan penyokong-penyokong
Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara terhadap Pas.
DAP amat terkilan dengan pendedahan mesej Dr Zuhdi dalam “Whatsapp AJK PAS Pusat” yang berbunyi:
“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk
seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno, dah
bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh
terima TSKI jadi MB.
Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah
ALLAH, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan
kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara
non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini”
Yang pertamanya, Dr Zuhdi tidak menafikan menulis mesej tersebut tetapi
cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa apa yang ditulis
oleh beliau adalah “analisis senario” kepada cadangan oleh seorang
pemimpin kanan Pas supaya Pas keluar dari PR.
“Analisis” sebegini lebih-lebih lagi dari seorang pemimpin Pas pusat
adalah sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot
kepercayaan rakyat.
Walaupun cadangan untuk kekal atau keluar dari PR adalah hak pimpinan
Pas, namun cadangan untuk bergabung dengan Umno dan membentuk kerajaan
negeri Selangor adalah satu pengkhianatan bukan sahaja kepada PKR dan
DAP, tetapi juga kepada rakyat Selangor yang telah memberikan mandat
yang jelas kepada PR dalam PRU13.
Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.
Saya ingin mengingatkan Dr Zuhdi bahawa kerusi-kerusi yang dimenangi
oleh Pas di Selangor adalah di bawah payung PR kerana ketiga-tiga parti
Pas, PKR dan DAP bertanding dalam PRU13 dengan manifesto bersama PR.
Yang keduanya dan lebih mendukacitakan ialah seorang Pengarah Operasi
Pusat Penyelidikan Pas yang sepatutnya diamanahkan sebagai “think tank”
kepada Pas boleh “mengimaginasi” untuk “menjentik DAP, gereja dan non
Muslim” apabila ada pandangan yang berbeza.
Ke mana perginya sifat keterbukaan dan toleransi dalam slogan “Pas for ALL”?
Saya juga tidak pernah ada imaginasi bahawa seorang pemimpin Pas boleh
“mengimaginasi” seperti Umno untuk mengembalikan kuasa politik Melayu
Islam melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Cadangan dan pemikiran Dr Zuhdi ini amat mencemarkan imej positif Pas
yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan
keadilan dan kuat berpegang kepada prinsip.
Saya yakin majoriti pemimpin Pas Pusat amat tidak bersetuju dengan cadangan dan pandangan Dr Zuhdi.
DAP menyeru pimpinan Pas Pusat untuk mengambil satu pendirian yang
tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Dr Zuhdi dan mengambill
tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi
dan penyokong-penyokong PR di seluruh negara terhadap Pas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan