Palanivel  
Palanivel


KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,413 kes pembakaran terbuka dikesan bagi tempoh Januari sehingga semalam dengan sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan kes kebakaran kawasan pertanian, belukar dan hutan.
  
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata, kawasan pertanian mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,436 kes, diikuti kawasan belukar yang mencatatkan sebanyak 1,013 kes dan kawasan hutan sebanyak 898 kes.
  
"Kawasan industri mencatatkan 34 kes, kawasan pembinaan (137), tapak pelupusan sampah (77) dan lain-lain pembakaran terbuka membabitkan 818 kes.
  
"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 315 kes pembakaran terbuka itu telah dikenakan tindakan kompaun, sementara 101 kes telah dikeluarkan notis amaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
  
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sedang menyediakan 45 kertas siasatan bagi kes-kes pembakaran terbuka itu yang akan dibawa untuk tindakan mahkamah.

"Daripada jumlah tersebut, 14 kes telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya, dengan lima kes mendapat izin mendakwa dan telah didaftarkan di Mahkamah Sesyen untuk tujuan pendakwaan," katanya.
  
Palanivel berkata, imej satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) mengesan 132 titik panas di Sumatera, Indonesia dan 87 di Kalimantan, Indonesia pada 30 Julai.
  
"Selain itu, sebanyak lapan titik panas dikesan dalam negara iaitu di Sarawak (tujuh) dan Perak (satu). Kesemua titik panas itu akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.
  
Beliau berkata, kebakaran hutan di Gunung Jambusan, Bau, Sarawak yang berkeluasan 10.1 hektar masih belum padam sepenuhnya.
  
"Tindakan pemadaman di kawasan tersebut turut melibatkan operasi pengeboman air menggunakan helikopter pada hari ini," katanya.  - Bernama