PETALING JAYA: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyelar dan mempersoalkan siapa pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Negara-Ku Datuk S. Ambiga untuk memberi amaran kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Omar.
Menurutnya, Ambiga yang juga merupakan bekas Presiden Majlis Peguam harus mencerminkan dahulu mukanya sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Sejak Ambiga bercakap soal kebebasan, ‘melaun ini’ sering menyatakan bahawa hanya dia sahaja yang boleh dan orang lain tidak boleh bercakap. Pi la Ambiga, lu boleh jalan,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.
Jelas Ibrahim lagi, Tun Hamid merupakan tokoh perundangan yang sangat berwibawa.
“Rekod yand dipegang oleh Tun Hamid jelas menunjukkan kewibawaannya.
“Malah, bekas Ketua Hakim Negara tidak akan bersuara tanpa sebab. Ambiga,’hang’ hanya bekas Presiden Majlis Peguam dan lebih ramai yang lulus ‘Holiday Inn’ serta lebih hebat dari Ambiga,” tempelak Ibrahim.
Semalam, Ambiga berkata Hamid perlu mengawal kemarahan ekoran kenyataannya yang mendakwa Islam terancam di Pulau Pinang.
Katanya, hakim mesti berhati-hati mengeluarkan kenyataan walaupun selepas bersara kerana ia boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman.
“Ia seperti peraturan tidak bertulis tetapi di negara lain, mereka sebenarnya mempunyai garis panduan itu,” katanya.
Hamid dalam ucapan yang dimuat naik menerusi laman sesawangnya berkata kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan kini terancam di bawah pentadbiran DAP Pulau Pinang.
Katanya, ramai rakyat bukan Islam di Malaysia mahu agama mereka diberikan status yang sama.
Hamid juga berkata seorang bekas mufti memberitahunya sukar untuk mendapatkan peruntukan aktiviti Islam di negeri itu apabila pemimpin agama lain menuntut hak yang sama.
Katanya, mufti itu memberitahu dalam satu majlis perasmian bangunan oleh timbalan ketua menteri, doa turut dibaca oleh paderi Kristian, sami Hindu dan imam masjid.
Hamid hairan mengapa ulama tidak dapat melihat perangkap yang digunakan gereja Katolik yang mahu menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan majlis gereja.
Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan exco kerajaan negeri yang mendakwa peruntukan untuk umat Islam di negeri itu sentiasa bertambah jika dibandingkan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional sebelum 2008
“Sekarang Lim Guan Eng mesti beritahu kepada umum peruntukan kepada semua agama secara terperinci sejak tahun 2008 untuk perbandingan dan juga perincian jenis-jenis peruntukan yang diberikan kepada semua agama,” tegas Ibrahim.
“Mendewakan kononnya peruntukan yang di berikan kepada Islam lebih jika dibandingkan dengan era BN tidak memadai.
Yang umat Islam mahu tahu, perbandingan peruntukan yang diberikan kepada lain-lain agama. Jawab lah secara professional, bukan macam itek atau pahlawanan jalanan,” akhirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan