HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Julai 2014

Dewan Ulama PAS sedia terima apa jua keputusan mesyuarat 10 Ogos- Dr Khairuddin

 Oleh  Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan yang bakal diputuskan mesyuarat pucuk pimpinan pada 10 Ogos ini, sama ada mengekalkan pendirian atau mengubah kerusi panas Menteri Besar Selangor.
 
Ketua Penerangannya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata setiap keputusan akan diterima dan dipatuhi tanpa berbelah-bahagi kerana yang penting adalah kelangsungan politik Pakatan Rakyat. 
 
Bagaimanapun beliau menegaskan sehingga kini PAS masih berpegang kepada keputusan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang ditetapkan parti ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Mac lalu.
 
"Itu terpulang pada mesyuaratlah, kita tidak bercakap dalam konteks mesyuarat yang akan berlaku...kita bercakap dalam konteks apa keputusan terkini sekarang, bukan keputusan kita tapi keputusan PAS sehingga saat ini ialah mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid.
 
"Itu keputusan PAS sehingga hari ini, sehinggalah berlaku mesyuarat pada 10 Ogos sama ada nak kekalkan keputusan lama atau nak mengubah kepada keputusan yang baru," katanya kepada Antarapos.
 
Ahli Parlimen Kuala Nerus ini menambah pemimpin PAS tidak mempunyai masalah dan menerima dengan terbuka bahawa keputusan itu diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.
 
"Itu terpulang kepada mesyuarat tetapi sehingga hari ini, itulah keputusan PAS.
 
"Ada pun PKR nak buat keputusan untuk menukarkan (Menteri Besar), itu hak PKR sebab itu dalam mesyuarat Pakatan Rakyat baru-baru ini menyatakan bahawa menerima cadangan PKR untuk berbincang dalam mesyuarat parti masing-masing.
 
"Mesyuarat Pakatan Rakyat tidak bersetuju, hanya menerima cadangan bukan bersetuju," katanya mengulas polemik itu.
 
Baru-baru ini, dua pemimpin tertinggi PAS menyatakan pandangan yang mempertahankan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, dalam tempoh kurang seminggu selepas PKR membentangkan secara rasmi di peringkat Pakatan.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku orang nombor satu parti itu terlebih dahulu mempertahankan Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan tersebut memandangkan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Pendirian Abdul Hadi itu turut mendapat sokongan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menyifatkan parti itu perlu meletakkan keutamaan ketaatan kepadanya walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu berhubung polemik yang sedang melanda pentadbiran Abdul Khalid.
 
**PKR manipulasi mesyuarat 23 Julai dengan niat sebaliknya** 
 
Menurut Mohd Khairuddin, PKR seolah-olah sengaja mahu 'menganiayai' apabila memanipulasi mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan pada 23 Julai dengan niat untuk memberi anggapan negatif.
 
Namun ujar beliau, respons balas Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menjernihkan perkara sebenar selepas PKR menegaskan ia akan terus berpegang kepada keputusan rasmi Pakatan.
 
"Itulah manipulasi terhadap kita yang berlaku, Datuk Tuan Ibrahim telah tegaskan kita tidak bersetuju tapi hanya menerima.
 
"Mengapa dimanipulasi kenyataan selepas mesyuarat Pakatan Rakyat hingga diberi faham (Setiausaha Agung PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai contoh dengan maksud bersetuju.
 
"Kalau bersetuju kenapa di akhir kenyataan itu masing-masing akan bawa untuk merujuk kepada parti masing-masing, apa erti mesyuarat yang akan dibuat kalau sudah bersetuju pada peringkat awal lagi?," katanya.
 
Untuk rekod, Saifuddin Nasution mendakwa keputusan parti itu mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar telah dibentangkan dan diterima PAS-DAP.
 
Menurut Mohd Khairuddin, pendirian Abdul Hadi yang mempertahankan Abdul Khalid untuk terus kekal bukan keputusan baru tetapi sudah ditetapkan oleh parti itu sejak Mac lalu.
 
Kata beliau, dalam keputusan yang disepakati bersama itu, isu Menteri Besar Selangor tidak berbangkit tetapi menumpukan kepada soal calon yang diserahkan kepada PKR untuk membuat keputusan manakala PAS sebagai rakan dalam pakatan pembangkang akan membantu mengikut keperluan.
 
"Maknanya yang kita buat sekarang ini ialah mesyuarat menerima cadangan PKR itu, ada pun PAS kekal pada pandangan asal iaitu Tan Sri Abdul Khalid mesti dikekalkan.
 
"...dan itu yang disebut oleh presiden, itu yang ditegaskan oleh tuan guru Nik Abdul Aziz sehinggalah mesyuarat pada 10 Ogos.
 
"Sewajarnya ahli dan pimpinan PAS berpegang dengan pandangan presiden sebagai orang yang lebih layak memberikan pandangan yang terbaik untuk 
parti," katanya.
 
**PAS buat keputusan secara musyawarah** 
 
Mohd Khairuddin menegaskan sebagai anggota kepada sebuah parti, mereka tertakluk kepada apa jua keputusan serta peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan.
 
"Kalau kita tanya soalan sejauh mana, itu terpulang pada mesyuarat.
 
"Kita bermusyawarah, bila bermusyawarah presiden berikan pandangan (dan) terpulang pada ahli musyawarah untuk berbincang sejauh mana akhirnya kita putuskan.
 
"Tetapi sebagai akhlak berjemaah hari ini ialah kita wajib menegaskan apakeputusan terakhir kita sebelum ini," katanya.
 
Tambah beliau, parti itu juga tidak akan terpengaruh dengan mana-mana pihak luar termasuk komponen Pakatan.
 
"Kalau PKR boleh buat keputusan untuk menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid, apa keputusan kita? Keputusan PKR itu mereka punya pasallah, itu yang kita bincangkan selama ini.
 
"Bila berlaku pilihan raya kecil Kajang, musyawarah politik bincang panjang isu ini dan menyatakan pilihan raya kecil Kajang tiada kaitan dengan isu menteri besar tidak berbangkit," katanya.
 
Justeru, wakil rakyat penggal pertama ini sekali lagi mengingatkan pimpinan agar tidak membincangkan perkara itu sehingga 10 Ogos nanti.
 
"Itu ditegaskan perkara itu, jadi itu isyarat bahawa pilihan raya kecil Kajang kita tidak bersetuju tetapi bila diteruskan berlaku maka kita bantu apa yang patut dan isu menteri besar tidak berbangkit.
 
"Itu ingatakan kita kepada semua orang dan kita mengekalkan pandangan iaitu Tan Sri Abdul Khalid tidak boleh serta tidak patut digugurkan.
 
"Kewajiban semua ahli dan kepimpinan PAS sehingga hari ini sepatutnya menegaskan keputusan asal kita mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid hinggalah berlaku mesyuarat pada masa akan datang pada 10 Ogos nanti," katanya.

Tiada ulasan: