HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2014

Pengalaman Bawa Mayat Mangsa MH17 : 'Ibarat Telur di Hujung Tanduk'

RAKYATNEWS


alt
 


SEPANG - Ibarat telur di hujung tanduk! Itu pengalaman yang dirasai seorang daripada 12 anggota dalam pasukan elit yang terlibat membawa kotak hitam dan mayat mangsa MH17 dari Donetsk ke Kharkiv, Rabu lepas.

Rosli Shaari, 5,0 yang juga Pengurus Besar Sapura Secured Technologies, berkata perjalanan selama sembilan jam dari sempadan Donetsk ke Karkhiv itu adalah perjalanan penting dan berisiko tinggi kerana mereka terpaksa melalui perjalanan dalam wilayah yang sedang bergolak.

"Ia perjalanan paling getir, bayangkan barang berharga iaitu kotak hitam MH17 ada bersama kami, ia bukti penting mengapa MH17 terhempas dan ia menjadi tanggungjawab kami," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebaik pasukan penyiasat khas MH17 ke Ukraine selamat tiba di tanah air pagi ini.

Katanya, puak pemisah hanya mengiringi pasukan mereka sehingga sempadan Donetsk dan selepas itu nasib dan nyawa mereka terletak pada kuasa kerajaan Ukraine.

"Ia wilayah bergolak, jam 3 pagi (waktu Ukraine), apa sahaja boleh berlaku, perjalanan melalui gunung-ganang, hutan dan cuaca amat gelap, saya hanya berserah dan hanya terbayang wajah anak dan isteri," katanya yang pernah terlibat dengan operasi bantuan taufan Haiyan Filipina.

Bagaimanapun, beliau dan anggota pasukan yang diketuai Leftenan Kolonel Mohd Sakri Hussain lega apabila kotak hitam tersebut selamat dibawa dan kini berada dalam tangan pihak sepatutnya untuk disiasat.

Rosli, satu-satunya orang awam yang terlibat dalam misi khas membawa kotak hitam itu, ditugaskan sebagai pegawai komunikasi operasi khas berkenaan.

Antara tugas beliau ialah memastikan komunikasi antara pasukan khas penyiasat MH17 ke Ukraine berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Sistem yang saya bawa dan digunakan ialah GIRN (Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan) yang juga diguna pakai oleh 16 agensi kerajaan di Malaysia dan digunakan di bilik operasi di Ukraine," katanya.

Mengulas layanan pihak pemisah semasa perbincangan penyerahan kotak hitam, Rosli berkata mereka memberi kerjasama yang amat baik.

"Walaupun bahasa menjadi penghalang namun dengan bantuan seorang jurubahasa dari puak pemisah yang menterjemah bahasa Russia ke bahasa Inggeris ia berjalan lancar," katanya.

Sebanyak 65 daripada 116 anggota pasukan khas penyiasat tragedi MH17 ke Ukraine telah selamat tiba dari Amsterdam ke KLIA pada 10.52 pagi tadi.

Pasukan itu berlepas ke sana 18 Julai setelah pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang dipercayai ditembak jatuh terhempas di wilayah Donetsk 17 Julai.

Penerbangan itu membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia.

Tiada ulasan: