Pas adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan menolak perjuangan berasaskan bangsa. Bagi Pas, perjuangan bangsa adalah assabiyah dan ditolak oleh Islam. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri pernah berkata, di akhirat nanti, Allah tidak bertanya sama ada kita Melayu, Cina atau India tetapi akan bertanyakan keislaman seseorang itu.
Sebab itu, kata beliau, Islam adalah lebih penting berbanding bangsa.
Salah satu asas penolakan Pas terhadap UMNO ialah kerana UMNO berjuang semata-mata kerana Melayu. Kadang-kadang pula perjuangan UMNO mengenai Melayu melebihi Islam itu sendiri. Dan bagi Pas, apa yang dilakukan oleh UMNO itu tidak betul sama-sekali.
Apabila Pas meletakkan Islam, dalam konteks negara ini yang mana Melayu adalah majoriti, ruang lingkup perjuangan Pas nyata lebih meluas. Ini kerana hampir semua Melayu adalah Islam. Kaum Bumiputera dan bukan Melayu yang beragama Islam juga termasuk dalam perjuangan Pas.
Tidak diragui bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas adalah perjuangan yang menyeluruh, lebih-lebih lagi cita-cita menubuhkan sebuah negara Islam atau negara yang berlandaskan hukum Islam sentiasa bermain di bibir para pemimpin Pas setiap kali mereka berceramah di seluruh negara.
Tidak pernah tergambar di benak sesiapa pun ada di kalangan pimpinan Pas yang bercitra assabiyah, mempunyai sentimen perkauman dan bernaluri rasis, meskipun ahli dan pimpinannya mempunyai latarbelakang yang berbagai. Sama ada kalangan ulama, golongan agama atau profesional semuanya dianggap menerima Islam sebagai asas perjuangan serta menolak elemen berasaskan bangsa.
Sehinggalah bocornya tulisan di whatsapp oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikannya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berhubung kemelut politik di Selangor, baru-baru ini, barulah disedari rupa-rupanya wujud juga di kalangan pimpinannya yang meletakkan bangsa dan kaum sebagai asas perjuangan, malah bersikap rasis, perkauman dan cuba bermusuh dengan kaum dan agama lain.
Hanya bermula dengan tindakan Presiden Pas, Haji Hadi Awang yang mahukan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim dikekalkan dan ianya kemudian menjadi polemik di kalangan rakan-rakan dalam PR serta perbezaan pendapat di dalam Pas sendiri, Dr Zuhdi yang ingin menyatakan sokongan kepada Haji Hadi, telah menelanjangkan citarasa politiknya yang sebenar selama ini.
Dalam tulisannya yang sudah tersebar luas itu, jelas beliau bukan saja ingin bekerjasama dengan UMNO yang mengamalkan assabiyah tetapi juga cuba membuat andaian dengan kekuatan Melayu melalui kerjasama antara Pas dengan UMNO itu, kerajaan baru di negeri Selangor nanti boleh "menjentik" dan "sergah" kaum dan agama lain dengan mudah.
Berikut adalah tulisannya itu, "Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi + TSKI + seorang lagi Adun PKR + 12 UMNO, dah bentuk simple majoriti. UMNO dalam kenyataan mutakhirnya boleh terima TSKI sebagai MB.
"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non muslim melalak isu serban, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana non muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini."
Membaca tulisan Dr Zuhdi, terlihat bahawa beliau lebih perkauman, rasis dan assabiyah daripada kebanyakan pemimpin UMNO sendiri. Mungkin juga di dalam Pas bukan Dr Zuhdi seorang yang mempunyai naluri politik sepertinya, malah ramai lagi sepertinya. Cuma, mereka tidak menyerlahkan warna diri yang sebenar.
Benar, seperti kata Naib Presiden Pas, Husam Musa bahawa apa yang telah ditulis oleh Dr Zuhdi telah menghancurkan apa yang dibina oleh Pas selama ini. Berpuluh tahun Pas menentang politik berasaskan kaum, rasis dan assabiyah, tiba-tiba ada pimpinannya sendiri bersikap bukan seperti pemimpin Pas, malah lebih dahsyat juga daripada sesetengah pemimpin UMNO sendiri.
Pemimpin UMNO yang menyedari perlunya kerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain tidaklah terlampau rasisnya kerana bimbang tidak mendapat sokongan dalam pilihanraya.
Di negara ini, hanya Perkasa dan Isma atau Ikatan Islam Malaysia yang sepenuhnya bersikap rasis dan perkauman. Bagi kedua NGO ini, semua perkara mestilah mendahulukan kepentingan Melayu dan Bumiputera dan tidak ada tolak ansur mengenainya.
Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin dalam Pas (jika ada) yang mahu berpolitik secara perkauman, adalah lebih baik turut menyertai Perkasa atau Isma yang memang dikenali sebagai NGO yang sarat dengan semangat Melayu, perkauman, anti Cina dan anti gereja itu.
Perkasa dan Isma tentu berbesar hati jika ada pemimpin Pas sedia menyerai NGO tersebut. Tentulah lebih berwarna-warni perjuangan atau demonstrasi Perkasa atau Isma selepas ini jika ia turut sama disertai oleh pemimpin Pas. ibrahim Ali tentulah juga amat berbangga jika Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin Pas yang sealiran pemikiran dapat bersama-sama dengan perjuangannya atau duduk di sebelahnya ketika beliau mengadakan sidang akhbar.
Sekurang-kurangnya dengan menyertai Perkasa atau Isma, Dr Zuhdi dan lain-lain pemimpin Pas yang bercitarasa perkauman itu tidak perlu lagi berpura-pura atau menyembunyikan diri mereka. Jika bersama Pas, pakailah kopiah dan bercakaplah mengenai Islam tetapi jika ingin bersikap rasis dan perkauman, tanggalkanlah kopiah dan menjerit atau berdemolah bersama Perkasa atau Isma.
Ibrahim Ali pasti paling gembira jika semua ini menjadi kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan