HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

Azmin masih ada upaya galas dilema politik Anwar?

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic



[ULASAN] Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, kini berada  persimpangan dilema politik yang getir. Haruskah beliau melangkah ke hadapan mempertahankan pendirian partinya berhubung syor parti menggantikan Menteri Besar Selangor atau berdiam diri?

Jika Azmin bertindak demikian, ramai yang menuduh beliau mempunyai kepentingan peribadi dan ada yang akan menuduh kekalutan isu kerusi Menteri Besar selama ini memanglah hasil kerja politiknya.

Bagaimanapun jika beliau tidak melakukan sesuatu, ia akan memberi gambaran bahawa tiada siapa yang menghiraukan betapa maruah PKR kini tercabar dek “kedegilan” Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu berundur.

Lebih rumit lagi ialah hakikat yang mencalar maruah PKR ialah presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang menganggap alasan PKR mahu menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor tidak kukuh.

Dengan perkataan lain, PKR kurang cerdik membuat keputusan mahu menggugurkan Khalid.
Malah Hadi juga secara tidak langsung menyarankan bahawa PKR tidak faham konsep amanah dalam pemerintahan apabila menyifatkan Khalid “tiada dosa politik” yang mendesak khidmatnya ditamatkan.

Selama ini memang pendekatan “menyimpan kuku” diambil oleh Azmin. Jarang benar beliau membuat kenyataan mengkritik Khalid secara terbuka. Beliau akan memberi komen apabila perlu sahaja.

Malah penyingkirannya daripada menjadi ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidaklah mendorongnya untuk menyelar Khalid yang juga pengerusi perbadanan itu secara terbuka.

Azmin faham persepsi umum ialah beliau “mencemburui” Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor walhal beliau (Azmin) sendiri adalah pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor PKR.

Lantaran itu beliau dituduh mahu menggulingkan Khalid. Dilema ini memang mudah difahami. Namun apabila Khalid dengan yakin dan terbuka pula mencabar kedudukan politiknya sebagai Timbalan Presiden PKR, Azmin harus mempertahankan kedudukannya.

Pun begitu beliau sentiasa berhati-hati tidak mahu dilihat terlalu ghairah untuk menjatuhkan Khalid sebagai Menteri Besar walaupun hujah itu digunakan oleh kem Khalid untuk mengalahkannya bagi jawatan  Timbalan Presiden.

Azmin berusaha memberi isyarat bahawa beliau hanya ingin mempertahankan kedudukan politiknya dalam parti sahaja.

Malang bagi Azmin pendapat umum tidak pula sedemikian. Apabila Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail masuk gelanggang merebut kerusi Timbalan Presiden PKR, Azmin mulai sedar beliau sudah tidak menikmati “sokongan istimewa” daripada pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.

Senario politik 2014 amat berbeza sekali dengan pemilihan pemimpin PKR tahun 2010 apabila Azmin bertarung menentang Datuk Zaid Ibrahim bagi jawatan yang dikosongkan oleh Dr Syed Husin Ali.

Mungkin sudah “muak” dengan perbalahan di antara Azmin dan Khalid yang berpanjangan, Anwar dilihat merestui supaya Saifuddin mencelah dan menjadi “kata atau faktor pemutus” dalam sayembara politik Azmin-Khalid itu.

Petunjuk mutakhir membayangkan Azmin akan berjaya mempertahankan kerusi Timbalan Presiden. Sentimen dalam PKR mengarah supaya Khalid direhatkan daripada menerajui Selangor.

Ini semua mengisyaratkan strategi “nerendah diri” (low profile) Azmin berhasil. Beliau akan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dan Khalid akhirnya akan digugurkan daripada menjadi Menteri Besar. Demikian sentiment dan keputusan parti.

Namun pelaksanaan “aturan” politik ini tidaklah semudah yang dibayangkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa pencetus idea “Langkah Kajang” untuk menggantikan Khalid dengan Anwar Ibrahim.

Tiba-tiba Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang masuk campur dinamika politik PKR. Beliau tidak setuju Khalid dihentikan perkhidmatannya.

“Alasan-alasan beberapa pihak yang mahu menukar Menteri Besar (Selangor) ini tidak kukuh, di mana saya melihat (yang) tidak setuju dengan Khalid ini tidak melibatkan amanah-amanah yang besar.

“Kalau beliau terlibat dengan skandal; terlibat dengan pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya, kita boleh tukar. Tetapi, jika (ada) alasan-alasan lain, kita boleh urus dan bukan tukar Menteri Besar.
“Kerana kita anggap dia dalam perjalanan kita tidak boleh pintas dalam perjalanan kena tunggu tempoh habis penggal,” kata Hadi.


Yang menggigit kesabaran Azmin ialah bagaimana mahu menerangkan secara terperinci kepada Haji Hadi, PAS, DAP dan rakyat mengapa Khalid harus digugurkan. Ini kerana pada permukaannya “dosa politik” Khalid tidak kelihatan di mata Hadi.

Namun bagaimana dengan sikap ketidakpedulian Khalid terhadap keputusan-keputusan parti? Tidakkah itu pada jangka masa panjangnya akan menghakis wibawa kepimpinan PKR?

Azmin adalah antara pengasas utama PKR. Pun begitu dengan sabar dan tertib beliau meniti naik satu persatu anak tangga parti. Kesabaran adalah jenama politiknya.bagaimanapun Khalid yang hanya mencampuri urusan politik PKR.

Sebelum 2008, kini bersikap “kaduk naik junjung” dan enggan ikut perintah parti.

Bukan itu sahaja, kini Khalid kelihatan cuba mengheret PAS dan DAP turut berpesta dalam kolam politik PKR seolah-olah semua soal “rumahtangga” parti reformasi hendak dilondehkan.

Haruskah Azmin kini muncul di tengah gelanggang dan mendedahkan pelbagai “kemungkaran” politik Khalid hingga mendorong Ketua Umum, Anwar Ibrahim sendiri menjadi kepala gerakan mahu merehatkannya?

Kenyataan Hadi secara langsung mempertikaikan kebijaksanaan politik PKR, khususnya Anwar Ibrahim. Hadi menggunakan ukuran bahawa Khalid amanah dan mendapat sokongan rakyat.

Walaupun Anwar sebelum ini berhujah kecemerlangan rekod perkhidmatan Khalid memang tidak dipertikaikan, namun kini politik di Selangor memerlukan lonjakan tindakan politik yang boleh mengukuhkan lagi pengaruh Pakatan Rakyat di negeri itu.

Maksudnya, PKR kini berpuashati dengan rekod perkhidmatan Khalid. Namun di segi politiknya, PKR mempunyai banyak alasan bahawa cara Khalid mentadbir mungkin tidak mampu mempertahankan sokongan rakyat pada jangka masa panjang.

Keputusan PKR ialah untuk mengelakkan musibah lebih besar berlaku menjelang pilihanraya umum 2018.

Yang pasti PKR tidak boleh mendedahkan butir “pengkhianatan” Khalid pada umum. Oleh itu ia perlu berkias-kias mengapa ia perlu dan mahu menukar Khalid daripada menjadi Menteri Besar.

Azmin tentu sedar pihak yang berupaya dan ada maklumat lengkap betapa mudaratnya politik Khalid ini ialah beliau sendiri. Jika mendapat kepercayaan Anwar kembali, tentu Azmin tidak keberatan untuk membantu membersihkan maruah PKR amnya dan wibawa Anwar khususnya.

Namun Azmin tidak boleh nekad terjun ke tengah gelanggang untuk menangani isu ini. Isyarat jelas daripada Anwar diperlukan. Itupun jika Anwar yakin Azmin boleh membantu memulihkan wibawanya di mata pemimpin Pakatan Rakyat.

Rekod kesetiaan Azmin pada Anwar memang amat baik. Kini terpulang pada Anwar untuk mempercayai bahawa kesetiaan anak didiknya tidak pernah berubah. Atau, mungkin Anwar menganggap Azmin gagal mengiringi rapi perubahan minda dan selera politik Anwar sendiri?.

Tiada ulasan: