MALAYSIAKINI
Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP hari ini membangkitkan
soal kapasiti semasa empangan Selangor yang dikatakan amat membimbangkan
kerana lebih rendah berbanding ketika catuan dilaksanakan pada Mac
lalu.
Lee Kee Hiong (Kuala Kubu Bharu) berkata, semakannya pada 26 Julai
(semalam) menunjukkan peratus takungan di Empangan Sungai Selangor dan
Empangan Sungai Tinggi kini serendah 35.14 dan 49.29 peratus.
Sedangkan, tambahnya, semasa catuan sebelum ini, ia berada pada tahap 36.39 peratus dan 60.97 peratus.
Kedua-kedua
empangan yang kapasitinya turun mendadak itu membekalkan sumber air
mentah bagi memenuhi 61 peratus daripada permintaan bekalan air di
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Dengan keadaan sedemikian, kerajaan Selangor perlu menjelaskan sama ada
Selangor akan menghadapi satu krisis air yang lebih besar berbanding
dengan krisis air yang dihadapi pada bulan Mac dan April yang lalu.”
katanya.
Dalam kenyataannya hari ini, Lee (atas) juga berkata, jika
paras semasa tidak akan mengundang krisis, rakyat Selangor berhak
mengetahui kenapa catuan dilaksanakan pada masa itu.
“Adakah langkah catuan air pada masa itu adalah satu kesilapan Kerajaan Selangor?” soalnya.
Katanya, kerajaan Selangor sebelum ini melaksanakan catuan dengan alasan
untuk mengelakkan empangan kering dan mengelakkan gangguan bekalan air
lebih berskala besar.
Lee berkata, kerajaan Selangor perlu memberi penjelasan sebagai pihak
bertanggungjawab mengawal sumber air di negeri itu, Wilayah Persekutuan
dan Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan