KUALA TERENGGANU: Semua peringkat kepimpinan PAS diseru supaya
menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali meminta semua
pihak supaya bersabar menunggu keputusan mesyuarat PAS Pusat mengenai
perkara itu pada 10 Ogos nanti.
Beliau menyatakan demikian setelah mengikuti perkembangan beberapa hari
lalu berhubung isu kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang
mendapat reaksi daripada pelbagai peringkat kepimpinan PAS dan
mengeluarkan kenyataan secara terbuka.
“Sebahagian daripada reaksi tersebut telah melanggar etika berikhtilaf
yang tidak selari dengan etika berbeza pendapat dalam jamaah dan ini
menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap parti,” ujarnya kepada
Harakahdaily di sini.
Kata beliau, tidak seharusnya berlaku kenyataan dalam banyak hal yang
menyerang peribadi antara satu sama lain dalam kalangan pemimpin PAS.
“Kita harus kembali kepada adab berikhtilaf atau berbeza pendapat yang
harus dijurus dan diuruskan mengikut tatasusila kaedah kita berjamaah,”
ujar beliau lagi.
Justeru, beliau merayu kepada semua peringkat kepimpinan parti supaya
perbezaan pandangan dan pendapat tidak diluahkan secara terbuka dan
bebas sehingga boleh menjejaskan kredibiliti parti kepada pandangan
umum.
“Kita ada saluran-saluran yang telah ditetapkan dalam parti di mana
pandangan-pandangan itu boleh disalurkan pada waktu itu,” jelasnya.
Beliau seterusnya memaklumkan PAS telah memutuskan bahawa isu yang
berkaitan dengan kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor akan
dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos nanti.
“Oleh kerana itu, semua pihak harus bersabar menunggu keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tersebut,” kata beliau. - harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan