HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Julai 2014

Zahid: NEGARA-KU tak boleh didaftarkan

MALAYSIAKINI


 


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya tidak akan membenarkan NGO anti perkauman NEGARA-KU didaftarkan dengan nama tersebut.

Ahmad Zahid berkata pertubuhan yang diketuai oleh dua orang bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan Datuk A Samad Said itu masih belum memohon untuk mendaftarkannya dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

“Oleh yang demikian, JPPM menegaskan bahawa ia adalah sebuah pertubuhan yang tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Namun begitu, sekiranya permohonan pendaftaran tersebut dibuat kepada JPPM, penggunaan nama Negara-Ku adalah tidak bersesuaian oleh sebab ia adalah hak milik negara Malaysia.

“Ini kerana Negara-Ku merujuk kepada lagu Negaraku yang telah diiktiraf sebagai lagu kebangsaan di bawah seksyen 2 Akta Lagu Kebangsaan 1968. Ia boleh mengelirukan orang awam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Seksyen 7(3)(d)(i) memberi kuasa kepada jabatan tersebut untuk menolak pendaftaran mana-mana pertubuhan dengan nama yang dianggap mengelirukan dengan ciri dan tujuan objektifnya.

Section 7(3)(d)(iii) pula memberi kuasa yang sama jika nama tersebut didapati tidak sesuai.

Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa mana-mana pertubuhan yang ingin menjalankan kegiatan mengikut undang-undang perlu didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Gabungan NGO BERSIH yang diketuai Ambiga dan Samad sebelum ini juga diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada 2011, walau dianggotai oleh pertubuhan yang didaftarkan secara sah.

Tiada ulasan: