HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Julai 2014

Bahagian kedua: PAS dan KPI Khalid

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
Kelmarin bahagian pertama artikel ini membicarakan bagaimana pimpinan PAS sanggup membela Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun ia bermakna menggadai  permuafakatan dalam Pakatan Rakyat. 
 
Ini dilakukan kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanan lain memberi markah begitu tinggi kepada KPI Khalid. 
 
Hanya Hadi, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Ahmad Yaakob tahu kenapa mereka menilai Khalid sebegitu manakala “report card” menteri besar itu yang ada pada PKR dan DAP menunjukkan sebaliknya. 
 
Antara yang tidak diperjelaskan oleh Khalid setakat ini adalah bagaimana beliau boleh tergolong dalam kelab eksklusif yang menerima layanan istimewa daripada pihak tertentu bersabit tuntutan saman jutaan ringgit daripada bank. 
 
Untuk sekian lama, Khalid berhutang RM70 juta kepada Bank Islam yang mengambil tindakan mahkamah untuk mendapatkan semula wang itu. 
 
Kes itu berpanjangan sekian lama namun awal tahun ini pelbagai pihak terkejut apabila diberitahu tindakan mahkamah tidak diteruskan dan Khalid mencapai penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam. 
 
Terkejut kerana peguam Khalid dan bank sendiri tidak tahu menahu apa yang berlaku.  Hutang RM70 juta “dibereskan” namun Khalid enggan memberi butiran penyelesaian itu. 
 
Orang yang lantang memperkatakan mengenai ketelusan, kejujuran dan keterbukaan tiba-tiba diam apabila berhadapan dengan kes sendiri.
 
Hanya dua orang sebelum ini menerima layanan istimewa bersabit masalah kewangan mereka – iaitu bekas Pengerusi MAS Tan Sri Tajudin Ramli dan Deepak Jaikishen – seorang penjual permaidani.   
 
Adakah  Hadi dan pimpinan PAS lain mengambil kira faktor ini sebelum mensifatkan Khalid sebagai bebas daripada skandal dan rasuah?
 
Apakah sebenarnya penilaian yang digunakan oleh Hadi untuk merumuskan Khalid tidak pecah amanah rakyat?
 
Rungutan yang sering didengar di kalangan pemimpin PKR, malah wakil rakyat parti komponen adalah Khalid sering membuat keputusan sendiri . 
 
Banyak janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditepati namun kemerosotan pengaruh Umno-BN menyaksikan Pakatan Rakyat semakin utuh di Selangor. 
 
Isi-isu seperti krisis air  dan cadangan pembinaan lebuh raya Kidex hanyalah secebis daripada rasa tidak puas hati rakyat dan Adun-adun mereka terhadap Khalid. 
 
Pihak PAS setakat ini belum menafikan pendedahan bahawa wakil rakyat PAS sendiri meluluskan usul pada Januari lalu untuk Khalid digantikan. 
 
Pendedahan itu dibuat oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Datuk Johari Abdul. Beliau menuntut penjelasan daripada PAS. 
 
Jika awal tahun ini, memang wakil-wakil rakyat parti itu sudah tidak tahan lagi dengan Khalid, apakah yang mengubah keadaan? 
 
Apa pun sudah tentu ada sebab Khalid ditolak oleh ahli PKR, malah di Cabang beliau sendiri? 
Khalid gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor bukan kerana bekalan elektrik terputus.  Ia  kerana beliau mungkir janji dalam banyak hal. 
 
Menjelang mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 10 Ogos ini, Hadi perlu memperolehi maklumat yang secukupnya. 
 
Ini  termasuk urusan Khalid dalam isu hutang RM70 juta sebelum  mengisytiharkan menteri besar itu  sebagai pemimpin yang amanah dan bebas skandal. 
 
Jika tidak Hadi sendiri akan mengundang tuduhan yang remeh seperti bagaimana Khalid boleh mengambil menantu Hadi dan orang kuat presiden PAS itu untuk menerajui jawatan-jawatan penting dalam Kumpulan Darul Ehsan Sdn Bhd. 
 
Desas-desus Khalid berjinak-jinak dan berusaha membela pemimpin PAS menjadi buah mulut pemimpin PKR sekian lama.
 
Contoh-contoh yang diberikan termasuk kos pengubahsuaian pejabat seorang bekas Pesuruhjaya PAS dan exco kerajaan negeri yang diluluskan Khalid menelan belanja hampir RM400,000.
 
Dalam mempertahankan Khalid, Hadi harus berani bangun dan menjawab soalan-soalan panas mengenai kewibawaan Khalid. 
 
Rakyat tidak harus disaji dengan kenyataan-kenyataan umum mengenai “kebaikan” Khalid tanpa mengupas isu-isu seperti prestasi beliau sebagai pemimpin PKR dan MB kerana kedua-duanya saling berkait dalam konteks Pakatan Rakyat. 
 
KPI Hadi untuk Khalid harus mengambil kira sumbangan menteri besar itu kepada PKR dalam memastikan keutuhan Pakatan Rakyat. 
 
Hadi perlu menimbang natijah menyokong seorang individu yang kredibilitinya dipertikaikan oleh dua rakan komponen Pakatan Rakyat dan kalangan pemimpin PAS sendiri. 
 
Ini kerana keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat 10 Ogos yang dipengerusikan Hadi memegang kunci masa depan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: