HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

MB Selangor: Antara Boneka Dan Keupayaan Azizah

RAKYATNEWS


alt


KUALA LUMPUR - SEJARAH baharu bakal dilakar sekiranya cita-cita politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua sebuah kerajaan negeri menjadi kenyataan.

Ia sekali gus menjawab persoalan mengenai nasib Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor berikutan pengumuman Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal yang dinamakan untuk mengisi kerusi kontroversi yang diduduki Abdul Khalid sejak 2008 itu.

Jika Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPP) memperakui Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak diangkat sebagai Menteri Besar dan istana Selangor memperkenan hasrat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu bakal menjadi wanita pertama di negara ini dilantik ke kedudukan tersebut.

Pelantikan Dr Wan Azizah yang lebih mesra dipanggil Kak Wan itu sekaligus dilihat sebagai lembaran baharu kepada persepsi politik Malaysia mengenai kedudukan wanita dalam strukur kumpulan pembuat dasar.

Namun, keputusan menepati jangkaan itu juga bakal mencetuskan perdebatan umum mengenai keupayaannya mentadbir sebuah negeri yang mencatatkan pembangunan ekonomi pesat seperti Selangor.

Anwar Yakini Isteri

Pastinya kepimpinan di semua peringkat PKR juga menyedari mengenai kemampuan Dr Wan Azizah jika dibandingkan rekod perkhidmatan Abdul Khalid di Selangor.

Bagaimanapun, Anwar sendiri dilihat begitu yakin dengan pilihannya yang disifatkan mempunyai aura tersendiri untuk menerajui Selangor.

Sekitar pukul 12.35 pagi Selasa, ketika memasuki bilik sidang media di mana sekumpulan wakil media menanti keputusan penting itu diumumkan, Anwar kelihatan begitu ceria dengan 'mood' yang cukup baik.

Berjubah serba putih, Anwar dengan penuh senyuman sempat menyapa dan bergurau dengan pihak media: "Sudah pukul berapa ni, you all tak mengantuk lagi ke?"

Bagaikan dapat menghidu akan adanya pengumuman 'berita gembira', pihak media mula berkampung di pekarangan ibu pejabat PKR sejak pukul 9 malam Isnin lagi.

Walaupun menyedari keputusan melantik isterinya bakal mengundang pelbagai pandangan negatif, Anwar tetap yakin 'Nona Azizah' dapat mengembalikan keyakinan rakyat selepas parti itu dihimpit pelbagai masalah dalaman sejak kebelakangan ini.

"Kita akui prestasi Selangor membanggakan dan kita hargai jasa Tan Sri Khalid mentadbir...banyak rekod yang kita boleh banggakan.

"Tapi kita juga berpendapat harus ada langkah tambahan bagi menyelesaikan beberapa isu panas yang menimbulkan kegelisahan rakyat, malahan langkah ini juga untuk menarik keyakinan rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat," demikian jelas Anwar.

'Tongkat' Tambahan

Dengan pelantikan Dr Wan Azizah, struktur pentadbiran kerajaan negeri perlu dimantapkan dalam usaha membantu beliau menguruskan sebuah kerajaan kerana sistemnya tidak sama berbanding pengalamannya mentadbir parti politik.

Dr Wan Azizah memerlukan 'tongkat' tambahan bagi memastikan beliau tidak rebah dipertengahan jalan.

Hanya melalui kumpulan pemikir, pembantu dan penggerak yang mantap boleh membantu beliau meneruskan agenda pentadbiran Abdul Khalid yang dianggap cemerlang dalam tempoh enam tahun.

Bukan itu sahaja, Dr Wan Azizah sendiri perlu memastikan barisan exconya berupaya menjadi 'tongkat' untuknya dalam menguruskan Selangor.

Mungkin Dr Wan Azizah sendiri memerlukan masa untuk sampai ke tahap kejayaan Abdul Khalid, namun sekurang-kurangnya beliau perlu menutup segala lompang yang wujud ketika era penyandang kedudukan jawatan nombor satu itu.

Boneka

Dalam kalangan wartawan, pastinya cukup masak dengan cara ahli politik berhadapan dengan pihak media khususnya ketika menjawab soalan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang tempoh penglibatannya dalam arena politik tanah air, termasuk ketika menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, Dr Wan Azizah boleh dianggap gagal berhadapan dengan media.

Bukan sahaja perlu dibantu ketika menjawab soalan kritikal, termasuk mengenai dasar partinya, beliau juga sering kali tersasar daripada persoalan yang diajukan.

Sememangnya berhadapan dengan media bukanlah isu pokok yang perlu diberi perhatian serius oleh seorang Menteri Besar, namun beliau harus ingat bahawa kredibilitinya menjawab soalan juga akan teruji dan dinilai.

Paling penting ia berupaya menangkis cakap-cakap sinis bahawa beliau hanya 'boneka' dan sekadar mengikut telunjuk orang sekelilingnya termasuk Anwar.

Peluang yang ada perlu digunakan sebagai mungkin bagi membuktikan kepada rakyat dan ahli partinya bahawa beliau mempunyai keupayaan diri, termasuk dalam urusan menasihatkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi melancarkan pentadbirannya.

Tiada ulasan: