HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Julai 2014

Apakah PBB begitu takut dengan rejim Israel?

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: PBB dan seluruh komuniti antarabangsa termasuk negara-negara OIC boleh dianggap turut terbabit dalam 'genocide' yang sedang berlaku di Gaza sekarang kerana melengah-lengahkan tindakan ke atas Zionis Israel.

"Kekejaman luar batasan kemanusiaan boleh dilihat dalam kematian begitu ramai kanak-kanak dan wanita serta orang tua yang dianggarkan adalah lebih separuh daripada keseluruhan angka kematian itu," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

PAS sekali lagi mengecam tindakan zionis Israel atas kekejaman luar kemanusiaan yang dilakukannya  yang sudah masuk hari ke-21 dengan angka kematian dalam kalangan rakyat Palestin sudah mencecah 1,300 orang.

Pada waktu kenyataan ini dibuat, rejim paling kejam dalam sejarah itu yang menyamai Nazi sewaktu Perang Dunia ke-2, sedang membedil orang awam dan penempatan awam di seluruh Gaza dengan menggunakan pesawat drone, kereta kebal dan peluru berpandu.

PAS amat hairan kenapa Setiausaha Agung PBB tidak membuat apa-apa untuk menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh regim Zionis itu.

Ini dalam keadaan Ketua Bahagian Hak Asasinya, Navi Pillay, yang mencadangkan supaya rejim Israel dibawa ke mahkamah jenayah perang kerana melakukan tindakan yang mencabuli protokol hak asasi manusia PBB itu sendiri.

Kita terkejut dengan sikap membisu SU Agung PBB ketika mana Israel menyerang bangunan dan sekolah kelolaan PBB di Gaza sejak awal serangannya ke atas Gaza.

PBB dan seluruh komuniti antarabangsa termasuk negara-negara OIC boleh dianggap turut terbabit dalam “genocide” yang sedang berlaku di Gaza sekarang kerana melengah-lengahkan tindakan ke atas Zionis Israel.

Kekejaman luar batasan kemanusiaan boleh dilihat dalam kematian begitu ramai kanak-kanak dan wanita serta orang tua yang dianggarkan adalah lebih separuh daripada keseluruhan angka kematian itu.

Ini ditambah dengan tindakan tidak berhati perut rejim yang tidak membenarkan atau sengaja menghalang pasukan kecemasan Bulan Sabit Merah menghampiri bangunan, rumah dan kawasan-kawasan yang telah dimusnahkan dengan bedilan regim untuk menyelamatkan mereka yang cedera dalam runtuhan.

Hari ini pemimpin rejim, Netanyahu berikrar untuk meningkatkan dan meluaskan lagi operasi serangan ke atas Gaza. Tentunya ini akan menambah lagi angka korban dan mereka yang cedera. Apakah dalam keadaan inipun PBB masih tidak mahu bertindak?

SU Agung PBB telah memalukan institusi keamanan paling utama di dunia apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tegas mengecam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Israel. Sebaliknya beliau menyalahkan “kedua-dua pihak” kerana “keganasan yang semakin meningkat”. Apakah PBB begitu takut dengan rejim Israel?

Bagi PAS keadilan adalah teras kepada penyelesaian masalah Palestin. Rakyat Palestin Gaza sudah berada di bawah kepungan darat, udara dan laut sejak Hamas memenangi pilihanraya umum Palestin pada 2006.

Rakyat Palestin hanya meminta untuk kepungan dan sekatan itu ditiadakan supaya mereka boleh hidup bebas sedikit sama seperti masyarakat lain di dunia.

Kepungan dan sekatan itu sendiri adalah satu kezaliman besar ke atas rakyat Palestin dan mencabuli semua prinsip hak asasi manusia.

Gencatan senjata yang dipersetujui pada November 2012 yang lepas telah mensyaratkan rejim Israel untuk batalkan semua sekatan dan kepungan ke atas Gaza.

Malangnya syarat ini tidak dipatuhi sebaliknya rejim mencari alasan untuk menyerang Gaza atas kononya pejuang Hamas melepaskan roket ke arah Israel.

Rejim Israel sejak 2012 selepas “gencatan senjata” sudah beberapa kali mencabulinya dengan melancarkan serangan udara dari masa ke semasa ke atas Gaza atas alasan mensasarkan aktivis Hamas, tetapi setiap serangan itu hanya mengorbankan lebih ramai orang awam.

PAS mendesak supaya PBB mengakhiri sikap berdolak-daliknya dan tegas memaksa rejim Israel menghentikan serangan darat, udara dan lautnya ke atas Gaza dengan serta merta.

PAS juga mendesak PBB melalui bahagian hak asasinya memulakan siasatan ke atas jenayah perang ke atas rejim zionis itu.

PAS juga meminta negara-negara OIC khususnya supaya membawa usul untuk menghadapkan pemimpin rejim Israel ke mahkamah jenayah perang dan membayar ganti rugi ke atas kemusnahan yang ia telah lakukan di Gaza.

PAS juga mendesak Nagara OIC menggerakan usaha melindungi rakyat dan bumi Palastin khususnya Gaza.

Tiada ulasan: