HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Julai 2014

Surat terbuka kepada pimpinan Pakatan Rakyat



Oleh Ooi Kok-Hin


Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang di tanah air atau di perantauan.

 Mudah-mudahan juga dalam “mood” perayaan ini, para pemimpin Pakatan Rakyat dan barisan penyokong dapat menyusun gencatan senjata dan merenung kembali perjalanan 15 tahun bersama.

Ianya bukan satu jalan yang lurus, bahkan berliku-liku. Kadang-kadang kamu berkongsi gembira, bermuzarakah dalam mesyuarat sehingga lewat malam, bersolidariti dalam demonstrasi, dan bertolak-ansur demi kepentingan yang lebih besar.


Ada kalanya pula kamu bertekak, mempertikaikan posisi dan kenyataan yang lagi satu, atau tidak mengendahkan satu sama lain. Apa pun, pahit manis diharungi bersama di bawah satu rumah sehingga sekarang.

Lima belas tahun lalu, PAS membentuk Barisan Alternatif (BA) bersama-sama Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat.

Keempat-empat presiden parti, iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali menunjukkan solidariti dengan membentuk BA dan mengeluarkan “manifesto bersama ke arah Malaysia yang adil”.

Antara fokus manifesto bersama itu adalah menentang korupsi dan percabulan hak asasi, mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat, dan membina demokrasi, perpaduan nasional dan kontrak sosial yang menuju alaf baru.

Lihat sahaja isu ini masih kritikal pada masa sekarang dan ini merupakan bukti kepada satu fakta yang tidak begitu mendapat perhatian media dan disklusi politik: perjuangan belum selesai!

Benar, DAP keluar daripada BA selepas PAS tegas dengan komitmen menubuhkan Negara Islam. Saki-baki BA berpecah berikutan perundingan kerusi yang panas.

Akibatnya bukan sahaja hasrat mana-mana pihak termasuk impian Negara Islam tidak tercapai, malah Umno-Barisan Nasional menang besar dalam pilihanan raya seterusnya.

DAP tidak ke mana, Keadilan hampir pupus dan PAS kehilangan Terengganu sampai hari ini
.
Kegagalan politik menyediakan “check and balance” menimbulkan pelbagai isu yang melanda negara – rasuah berleluasa, pihak berkuasa angkuh, kroni semakin rakus, golongan pelampau menjadi berani dan sombong, ekonomi “stagnant” dan rakyat berpecah.

Negara semakin jauh dari semua fokus dan impian yang digariskan dalam manifesto bersama kerana ahli politik kehilangan fokus.

Fokus itu amat penting dalam kehidupan. Kita tidak boleh berlari sana sini dan mengejar segala apa benda setiap hari.

Kita tidak akan mencapai mana matlamat tanpa prioriti dan “sense of purpose”.

Begitu juga dalam politik. Para pemimpin dan penyokong parti politik tidak harus berharap untuk mencapai “perfect justice” (jika berminat mengetahui lebih lanjut, boleh khatam buku “The Idea of Justice” oleh Amartya Sen).

Sebaliknya, para pejuang boleh mencapai lebih banyak matlamat dengan mengenalpasti ketidakadilan yang boleh dihapuskan atau dikurangkan. Usaha ini perlu ada prioriti.

Jika tidak ada fokus dan “sense of purpose”, pemimpin politik seolah-olah menunggu isu berbangkit kemudian baru memberi respons, seperti yang berlaku sejak PRU13 berakhir.

Dari sudut pandangan seorang rakyat biasa yang tidak ada maklumat dalaman, kelihatan Pakatan kehilangan fokus selepas PRU13 dan hanya bertindak “reactive” sejak itu. Lebih “direct” lagi, semangat itu dah hilang.

Tiada fokus, makalah tiada arah tujuan dan tiada disiplin dalam kalangan ahli. Segala apa benda keluar dari mulut kerana masing-masing tidak dapat melihat gambaran yang lebih besar.

Sampai pula peringkat sindir-menyindir dan “name calling, all out in the open”.

Tidak boleh melakukan sebegini jika hendak menyelamatkan rumah. Orang suruh padam api, bukan bakar api.

Sekali lagi dari perspektif rakyat biasa yang terpisah dari perbincangan politik pada peringkat tertinggi, kebanyakan dari kami tidak tahu apa yang berlaku (atau sekurang-kurangnya “we don’t know enough to really care to act”).

Sebab itu, bagi kami rakyat biasa yang terlalu jauh daripada sumber kuasa, siapa jadi menteri besar, kita tak kisah.

Asalkan individu itu dengan pasukan dapat mentadbir negeri dengan berkesan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan impian Malaysia yang lebih besar, kami redha.

Untuk keluar dari kemelut Selangor, kita harus tahu dan ingat fokus kita ialah untuk menyelesaikan masalah, bukan sebaliknya.

Metodologi kita mudah: dua soalan perlu dijawab secara berperingkat.

1) adakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim begitu tersasar dari fokus matlamat Pakatan Rakyat sehinggakan ianya satu kemestian (“necessity”) untuk beliau berundur? Persoalan ini turut termasuk pertimbangan kesediaan para pemimpin lain untuk terus bekerjasama dengan beliau dan kapasiti kumpulan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengekalkan Selangor dan membantu usaha mendekati Putrajaya. Persoalan ini harus dimuktamadkan dahulu.

2) Jika jawapannya ya (kalau tidak, tak perlu pun soalan ini. Boleh buat kompromi dan deal), siapakah calon yang wajar mengganti beliau untuk mengecapi apa yang Khalid tidak atau tidak dapat kecapi? Dari segi personal capacity dan pengalaman pengurusan, Khalid memang sukar ditandingi.

Akan tetapi, keadaan yang tidak memihak pengganti Khalid itu dapat diimbangi dengan kekuatan sepasukan (“team strength and teamwork”).

Misalnya dalam persiapan Belanda menghadapi juara dunia, mereka bermain formasi 4-3-3 dengan cemerlang. Namun kecederaan yang dialami pemain tengah Kevin Strootman menyebabkan dia tidak dapat beraksi di Brazil.

Louis Van Gaal tidak mencari pengganti Kevin Strootman yang boleh bermain sebiji macam pemain itu. Sebaliknya beliau mengubah sistem mereka kepada 3-4-1-2, 4-3-1-2, 5-4-1 atau formasi 4-3-3 yang sama tapi peranan pemain pertahanan dan tengah diubah sedikit.

Mengikut ungkapan pengurus Manchester United yang baru itu, “We don’t talk about individual players. We talk about a team.” Maaf, pengajarannya, keberkesanan sesebuah organisasi itu dapat mengatasi kekurangan individu.

Dua soalan itu yang perlu dijawab sekarang. Soalan dan isu lain boleh dikemudiankan, ingat prioriti dan fokus.

Bukan mudah untuk sampai tahap kerjasama hari ini. Kamu lebih mengenali daripada kami.
Dari perjumpaan Sekretariat kecil-kecilan hingga konvensyen Pakatan Rakyat yang dihadir seribu delegasi.

Kerjasama secara lisan dan peribadi berkembang kepada manifesto bertulis dan gabungan Pakatan yang ada institusi dan prosedur.

Tidak dilupakan, kerjasama menubuhkan dan menguruskan lima kerajaan negeri. Memang mudah untuk berfikir kerjasama ini sekadar untuk memenuhi cita politik ke Putrajaya.

Namun sebahagian daripada rakyat mengganggap kerjasama ini sebagai satu usaha idealis untuk merealisasikan Malaysia yang lebih adil.

BA dan Pakatan ada fokus dan prioriti seperti yang digariskan dalam manifesto bersama. Dan matlamat itulah yang memperoleh sokongan dan amanah rakyat. Makalah pemimpin mesti mengembalikan fokus kepada perjuangan jika tidak ingin mengecewakan harapan dan kepercayaan rakyat.

Rumah yang didiami bersama itu agak retak sekarang. Seolah-olah seperti keretakan dalam sebuah rumah tangga, kamu boleh memilih untuk meninggalkan rumah begitu sahaja, bercerai dan hidup seorang atau mencari pasangan lain.

Atau kamu boleh memilih untuk kekal, memperbaik keadaan dan mematangkan hubungan. Dengar kata orang tua, ketika sesuatu perkara buruk melanda sebuah rumah tangga, sama ada rumah tangga itu akan hancur berkecai atau bertambah kukuh.

Saya berhenti setakat ini sahajalah. Harap air setitik tidak dijadikan laut, rumah yang mengambil masa 15 tahun untuk dibina dan harapan rakyat untuk sistem politik yang lebih matang dan negara yang lebih adil dimusnahkan begitu sahaja dalam sekelip mata.

Dalam masa yang mencabar ini, wajarlah para pemimpin merenung kata sang pencinta dalam “The Fault in Our Stars” – “Grief does not change you, Hazel. It reveals you.”

Tiada ulasan: