HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Julai 2014

Kabinet baru DHPP gagal raih kerjasama pimpinan negeri - Pang Chaw

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chaw mendedahkan kabinet baru sayap tersebut sejak 11 Mei lalu tidak diterima baik malahan kerjasama yang ditawarkan ditolak barisan kepimpinan negeri.
Malah hubungan beliau yang juga antara pengasas sayap itu yang ditubuhkan pada 2004 dengan kepimpinan baru 'dingin' dengan masing-masing tidak bertegur antara satu sama lain.
Untuk rekod, pada 11 Mei lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan mengumumkan kabinet baru DHPP dengan menggugurkan Pang Chaw daripada jawatan ketua sayap itu dan digantikan dengan N Balasubramaniam.
Sebelum ini, N Balasubramaniam merupakan Timbalan Ketua DHPP.
"Saya sejak hari itu lagi tak pernah hubungi mereka dan mereka tidak hubungi saya.
"Saya diberitahu bahawa ada sekurang-kurangnya lapan negeri tak nak bekerjasama dengan kepimpinan yang baru ini," katanya kepada Antarapos.
Justeru Pang Chaw menasihatkan kabinet baru DHPP agar menyelesaikan masalah yang berlaku dengan segera kerana ia boleh menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Jadi saya nak ingkatkan sikit sahajalah supaya kena mengambil kira keadaan ini dan selesaikan masalah ini sebelum PRU14 kerana kalau keadaan ini berterusan ia akan menjejaskan sokongan daripada masyarakat bukan Islam.
"Itu yang penting sebab akan menjejaskan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU14," katanya.
Pada April lalu, Pang Chaw menimbulkan kontroversi dan kemarahan sesetengah ahli PAS selepas menyatakan rasa kecewa kerana soal hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS Kelantan tidak dibincangkan bersama dengan sayap parti itu, DHPP.
Berikutan kenyataan itu, beliau dikecam hebat dalam beberapa laman web termasuk laman sosial Facebook yang mahukan beliau dipecat dari jawatan itu.
Lanjutan perkara itu Pang Chaw digugurkan daripada barisan baru DHPP didakwa berpunca pendirian tegas beliau berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Dalam perbualan ringkas itu, Pang Chaw yang sudah sedekad bersama PAS telah memainkan peranan besar terutamanya dalam meraih sokongan masyarakat bukan Melayu malah bekas guru ini juga merupakan calon bukan Islam pertama dari parti Islam itu.
Tiada istilah merajuk 
Di sebalik anggapan umum beliau seakan merajuk dengan PAS, pemimpin ini menegaskan tiada istilah merajuk dalam kamus hidupnya.
"Saya masih terlibat dengan program parti tapi saya lebih fokus dan tertumpu di zon selatan maknanya di sebelah Johor.
"Sebab bagi saya Pakatan Rakyat telah ambil Johor sebagai frontline, jadi saya akan bertanding di Johor...jadi saya terkenallah berbanding pemimpin yang lain sebelum ini berkenaan dengan keadaan itu.
"Saya masih lagi mainkan peranan walaupun tidak lagi ketua (DHPP)," katanya.
Selain itu Pang Chaw menambah beliau kini sedang dalam proses untuk melakukan 'comeback' dan tumpuan sepenuhnya diberikan di Johor yang akan menjadi medan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
"Dalam perjuangan politik ini adalah perkara biasa, ada masanya kita naik dan ada masanya kita turun...yang pentingnya semangat perjuangan itu mesti dikekalkan.
"Itu yang penting dan saya anggap itu sebagai satu ujian kepada saya dan saya tidak salahkan parti sebab parti tidak bersalah cuma orang yang buat keputusan itu adakah mereka mengambil kira keadaan yang sebenarnya.
"Jadi saya tidak marah kepada sesiapa," katanya.
Untuk rekod Pang Chaw adalah salah seorang pengasas sayap parti itu, yang bermula sebagai sebuah kelab penyokong pada tahun 2004 dan dinaik taraf kepada sayap (Dewan) pada tahun 2010, untuk membolehkan ahli bukan Islam bertanding secara langsung di bawah panji-panji PAS.
Beliau juga merupakan calon bukan Islam pertama dari PAS.
Pengaruh saya masih kuat dalam parti 
Kata Pang Chaw lagi, walaupun dilihat seolah-olah sepi dalam persada politik selain pelbagai spekulasi dibuat termasuk dakwaan beliau akan berundur dalam politik namun ia sekadar spekulasi semata-mata.
Selain itu, beliau menegaskan jawatan bukan menjadi keutamaan sambil menambah kepercayaan serta hubungan yang diwujudkan selama ini memperkukuhkan kedudukannya dan jaringan tersebut memastikan bekas guru ini kekal diperlukan parti.
"Bagi saya tiada masalah sebab hubungan yang saya wujudkan sebelum ini yang dijalinkan sebelum ini masih lagi diteruskan.
"Hubungan yang dijalinkan itu bukan dijalin atas jawatan saya tetapi hubungan peribadi dan juga peranan yang pernah saya mainkan sebelum ini.
"Ini merupakan usaha berterusan, jadi hubungan saya dengan PKR dan DAp masih rapat lagi," katanya.
Beliau menambah keputusan dibuat pucuk pimpinan parti itu diterima dengan hati terbuka.
DHPP mempunyai kira-kira 20,000 ahli dengan 70 peratus daripadanya kaum India, 20 peratus Cina dan 10 peratus daripada kaum lain. Bagaimanapun status ahli DHPP hanya sebagai ahli Dewan, bukan ahli PAS.

Tiada ulasan: