KOTA BHARUPenyakit demam kepialu atau tifoid menunjukkan peningkatan mendadak di Kelantan, dengan 36 kes dicatatkan setakat ini.


Daerah Kota Bharu mencatat kes tertinggi, iaitu 12 kes atau 33 peratus, diikuti Tumpat dan Pasir Mas yang masing-masing merekodkan lapan kes menyumbang sebanyak 22 peratus.

Manakala lain-lain daerah adalah Tanah Merah (empat kes atau 11 peratus), Pasir Puteh dan Gua Musang masing-masing dua kes atau 5.5 peratus dan Machang mempunyai satu kes atau 2.7 peratus.

Namun begitu, tiada kes tifoid yang dilaporkan di Kuala Krai, Jeli dan Bachok pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, meskipun tiada kematian akibat jangkitan tifoid dilaporkan sejak 5 tahun kebelakangan ini, ianya masih membimbangkan.

Terdapat peningkatan kes tifoid berlaku sejak 21 Jun lalu, di mana 12 kes tifoid dilaporkan (lapan kes dari Tumpat, tiga kes di Kota Bharu dan satu kes dari Pasir Mas) berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya.

jelasnya, 12 pesakit yang mengalami demam berpanjangan, sakit perut, cirit-birit dan sakit kepala itu, dirawat sebagai pesakit di hospital kerajaan.

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada makanan atau minuman tercemar, atau melalui pengendali makanan yang merupakan pembawa sihat,” katanya.

Semua kes yang dilaporkan pada minggu lalu mengalami gejala dan pendedahan sebelum Ramadan.

Langkah pencegahan dan kawalan telah dan sedang dijalankan kakitangan jabatan di peringkat daerah terbabit, seperti pengklorinan telaga, pendidikan kesihatan, pengambilan sampel makanan dan air, termasuk ais serta pemeriksaan premis.

“Sebagai pencegahan penularan penyakit bawaan air dan makanan ini, pemantauan telah dijalankan di bazar Ramadan yang meliputi pemeriksaan premis, pengambilan sampel, edaran risalah tentang kebersihan dan keselamatan makanan.

“Kita juga akan memastikan pengendali makanan dan penyakit bawaan air mendapat suntikan pelalian anti tifoid.

“Pemberian suntikan pelalian anti tifoid telah dijalankan di bazar Ramadan. Sehingga kini, 580 pengendali makanan telah mendapat suntikan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya, semua Pejabat Kesihatan Daerah dan hospital telah dimaklumkan tentang peningkatan kes tifoid, dengan amaran diberikan kepada semua pengamal perubatan untuk pengesanan dan rawatan awal kes.

Ahmad Razin berkata, pengamal perubatan swasta (klinik swasta) turut diarahkan memantau kes berkenaan.

Tifoid adalah penyakit bawaan air dan makanan yang disebabkan bakteria Salmonella typhi.

Antara simptomnya adalah demam panas berterusan, sakit kepala, sakit perut, sembelit atau cirit-birit, kurang selera makan dan keadaan pesakit mungkin bertambah teruk, seperti meracau, tidak sedarkan diri dan pendarahan usus.

Komplikasi penyakit ini boleh menyebabkan koma dan kematian.

Penyakit ini merebak melalui makanan dan air yang dicemari najis manusia mengandungi bakteria Salmonella typhi, sama ada daripada pesakit atau pembawa.