KUALA LUMPURBerikutan ‘pendedahan’ yang disiarkan Wall Street Journal (WSJ) hari ini, ahli politik di seluruh negara mempersoalkan kredibiliti laporan berkenaan.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan antara yang pertama menyuarakan persoalan itu melalui Twitter miliknya, hari ini yang mengkritik keputusan WSJ untuk tidak menamakan sumber dalam laporan itu.

“Dengan memetik ‘penyiasat tidak dinamakan’ sebagai laporan amat berunsur fitnah, AWSJ (Asian Wall Street Journal) menjunam ke tahap kewartawanan longkang Sarawak Report,” kata Abdul Rahman.

Ia disusuli Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu temu bual dengan Bernama yang berkata, dakwaan WSJ ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diterima, kerana ia tidak mempunyai bukti kukuh.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek turut senada dengan Khairy.

Jelasnya, laporan berkenaan tidak disahkan dan semua persoalan perlu dirujuk dengan Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

“Kita tidak boleh sewenangnya menerima sesuatu yang tidak disahkan dan ia tidak sihat. Sekiranya tidak disahkan, maka tidak perlu untuk beri komen,” katanya.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang turut mempersoalkan siapa yang terlalu ‘bodoh’ untuk memindahkan dana tidak sah ke akaun peribadi.

“Bagaimana mahu percaya tuduhan itu, sedangkan yang menuduh tidak dapat beri bukti kukuh terhadap dakwaan yang dilemparkan? Percaya membabi buta?

“Apabila rakyat minta tunjukkan bukti seperti akaun bank, mereka berikan pelbagai alasan. Tuduhan ini tidak berasas,” katanya.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon pula menyifatkan tuduhan itu adalah serius dan apabila meminta Najib menafikannya, WSJ juga perlu memberikan bukti kukuh.

Beliau juga mempersoalkan jika laporan itu telah mengambil kira perkembangan penahanan warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang membocorkan dokumen berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

WSJ perlu melampirkan sumber maklumat berkenaan. Jika tidak, laporan ini tiada beza dengan tabloid lain yang hanya mahu sensasikan isu,” katanya.