GERIK: Kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kadar tol
walaupun syarikat konsesi lebuh raya meminta kenaikan dilakukan, kata
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, syarikat konsesi menyatakan kos operasi yang tinggi
tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti kerajaan sebelum
membuat sebarang keputusan.
"Kabinet sedang meneliti permintaan itu dari semua sudut.
"Jika kita tidak menaikkan kadar berdasarkan perjanjian konsesi pada
tahun ini, kerajaan akan membayar pampasan RM580 juta kepada mereka.
"Dan pada tahun depan, jumlah tersebut boleh mencecah RM1.6 bilion," katanya dalam satu sidang media semalam.
Fadillah berkata jumlah tersebut sebaliknya boleh digunakan untuk membina jalan raya, sekolah dan hospital.
"Kami perlu keseimbangan. Mampukah kerajaan untuk terus membayar pampasan tersebut?
"Jika kita memutuskan untuk menaikkan tol, kita perlu melihat kepada
kepentingan rakyat dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi
memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat," katanya.
Tambah Fadillah lagi, rundingan masih diadakan antara kerajaan dan 30 syarikat konsesi lebuh raya.
Sambil menyatakan bahawa syarikat konsesi berhak untuk menaikkan tol
seperti yang ditetapkan dalam kontrak mereka, Fadillah berkata, kerajaan
tidak pernah menaikkan kadar tol sejak 2008.
"Orang ramai juga perlu ingat bahawa pembinaan lebuh raya bergantung
kepada pihak berkepentingan, termasuk pelabur asing dan pihak bank.
"Jika tidak ada keputusan mengenai kenaikan tol, ia akan menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan," kata Fadillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan