PETALING JAYA: Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Nurul Izzah Anwar
gagal menjustifikasikan pertemuannya dengan anak perempuan bekas Sultan
Sulu, Jacel H. Kiram Hasan dan memberi amaran supaya kedaulatan negara
tidak digadai untuk motif politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, alasan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebagai tidak munasabah.
“Tindakan tidak bertanggungjawab YB Lembah Pantai sama sekali tidak
dapat diterima kerana ia melibatkan soal mengenai kedaulatan negara,
lebih-lebih lagi apabila pihak yang ditemui terlibat dalam pencerobohan
dan pembunuhan rakyat kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Nurul Izzah yang
mempertahankan pertemuannya dengan Jacel di mana bapanya
bertanggungjawab menghantar 200 Tentera Sulu untuk menyerang Sabah pada
tahun 2013.
“Adalah tidak munasabah untuk memperlekehkan sensitiviti dan perasaan
keluarga mangsa-mangsa pencerobohan Lahad Datu ataupun rakyat Sabah
dengan alasan-alasan yang remeh.
"Apatah lagi bila masih wujud tuntutan daripada kononnya waris-waris Kesultanan Sulu," katanya.
Beliau juga berkata bahawa kenyataan oleh pihak pembangkang, yang
menyamakan pertemuan Nurul Izzah dengan kejadian di mana Datuk Seri
Najib Tun Razak telah terserempak dengan Perdana Menteri Israel di
Perhimpunan Agung PBB hanya menunjukkan mereka ketandusan idea.
“Kenyataan sesetengah pihak untuk menyamakan pertemuan ini dengan
insiden apabila YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita
yang terserempak dengan Perdana Menteri Israel di Persidangan PBB,
sekali lagi jelas menunjukkan ketandusan idea politik pembangkang
sehingga sanggup melakukan apa sahaja dengan memberi gambaran salah
mengenai kebenaran untuk menjustikasikan tindakan mereka.
“Apa lagi justifikasi atau alasan remeh yang akan diberikan oleh mereka
untuk perjumpaan dengan jurucakap kumpulan penceroboh Lahad Datu?
“Adakah kedaulatan negara boleh digadaikan atau diketepikan untuk
kepentingan peribadi? Adakah kedua-dua pihak menyokong agenda
masing-masing?” soalnya.
Kelmarin gambar Nurul Izaah dan Jacel muncul di media sosial
menyebabkan kegemparan di kalangan rakyat Malaysia dan ahli politik.
Nurul Izzah dilihat makan malam bersama Jacel dalam salah satu gambar
dengan seorang lelaki tidak dikenali, manakala dalam dua gambar yang
lain, dia dilihat bergambar dengan Jacel memegang poster “Release Anwar
Immediately”.
Naib Presiden PKR itu berkata bahawa dia telah pergi ke Filipina pada 9
November untuk bertemu pihak berkepentingan politik di negara itu dan
pertemuan dengan Jacel diatur oleh Manila.
"Saya ingin menegaskan sokongan saya dalam mempertahankan kedaulatan
Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia," kata Nurul
Izzah dalam satu kenyataan Khamis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan