shahbudindotcom
Jika
saman Najib Razak terhadap akhbar perniagaan The Wall Street Journal
atau WSJ yang dijanjikan pada hari Selasa tidak diketahui bila akan
menjadi kenyataan, nampaknya hari ini, Khamis boleh dianggap hari
saman-menyaman bagi dua orang menteri.
Pertama,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom akhirnya
menunaikan janjinya untuk mengemukakan saman terhadap Pengarah Pusat
Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan atau NOW, Akmal Nasir
berhubung dakwaan penyalahgunaan dana anak-anak yatim YaPEIM untuk
lawatannya ke Amerika Syarikat.
Beliau mengemukakan saman fitnah dan menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta.
Yang
kedua, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri Yaakob
yang berang dengan penyebaran gambar-gambarnya bersama hidangan telur
penyu di media sosial, mengancam unntuk mengambil tindakan undang-undang
berhubung perkara itu.
Ketika
sekeping gambarnya bersama hidangan telur penyu tersebar luas minggu
lalu, beliau menafikan turut memakan hidangan terlarang itu atas alasan
kandungan kolesterolnya yang tinggi.
Katanya,
beliau bukan saja menjauhi makanan yang mengandungi kolesterol yang
tinggi, bahkan sentiasa memakan ubat penahannya berikutan kandungan
bahan itu sudah sedia tinggi dalam badannya.
Selain
itu, Ismal Sabri yang meletakkan beban menyediakan telur penyu tersebut
di pihak penganjur yang meraikannya dan bukan atas permintaannya, turut
mengatakan beliau tidak menyedari mengenai undang-undang larangan
berkaitannya.
Bagaimanapun
ketika isu tersebut hampir dilupakan dan tidak lagi diperkatakan, Pusat
Lapangan Danau Girang, sebuah kemudahan penyelidikan dan latihan di
Sabah tiba-tiba memuat-naik empat keping gambar Ismail Sabri dalam
majlis makan malam di Sandakan itu dengan keterangan yang berbunyi,
"merujuk kepada empat keping gambar yang dimuat-turun dari laman
Facebook Walai Penyu Resort Libaran dan dikongsi oleh "Deadturtle
Sabah", nampaknya telur penyu sebenarnya dimakan oleh orang yang sama
menafikannya sebelum ini."
Jika
sebelumnya Ismail Sabri menafikan memakan telur penyu kerana kandungan
kolesterolnya yang tinggi, tetapi dalam satu daripada empat keping
gambar yang disiarkan itu jelas kelihatan kulit telur penyu terdapat
dalam pinggannya.
Gambar
lain pula memperlihatkan sebuah pinggan berisi telur penyu di
hadapannya yang menunjukkan isinya hanya tinggal separuh saja lagi, satu
kemungkinan bahawa separuh lagi sudah dimakan.
Yang
pelik dan hairannya, kenapa Ismail Sabri tidak menafikan buat kali
kedua bahawa beliau benar-benar tidak memakan telur penyu itu,
sebaliknya berang sambil melontarkan ancaman mahu menyaman pihak yang
menyebarkan gambar-gambar itu?
Bukankah isu ini mudah saja, mengaku atau nafikan saja?
Kalau benar tidak memakannya, nafikan saja. Jika benar-benar tidak mengambil telur penyu itu, kenapa perlu takut untuk menafikan walau sehingga seribu kali asakan sekali pun.
Tetapi,
jika tersilap kerana memakannya pula, mungkin kerana teruja berikutan
telur penyu tidak kedapatan sama ada di Kuala Lumpur atau Bera atau
barangkali kerana tidak pernah memakannya sebelum ini, mohonlah maaf
secara terbuka.
Apalah yang susah sangat nak memohon maaf. Bukankah memohon maaf dan mengaku kesilapan suatu sifat terpuji?
Walaupun
kesalahan mengumpul, menjual atau memakan telur penyu di Sabah boleh
membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM50
ribu atau kedua-duanya, Ismail Sabri mungkin boleh dikecualikan atau
diringankan hukuman jika benar-benar tidak mengetahui atau menyedari
mengenai kesalahan yang dilakukannya.
Tambahan
pula, beliau cuma dihidangkan makanan terlarang itu oleh pihak
penganjur dan bukan membeli atau meminta disediakan telur penyu untuk
hidangannya. Tentulah ada toleransi dan budi bicara pihak berkuasa dalam
hal ini.
Yang mustahak, berlaku jujurlah kerana itulah antara nilai terpenting dalam kehidupan seorang pemimpin.
Kenapa
perlu berang dan ugut mahu saman-menyaman? Jika diteruskan juga mahu
menyaman, bukankah lebih memalukan jika kemudian didapati pula ada
gambar lain menunjukkan beliau sedang menyuap telur penyu itu ke
mulutnya?
Lagi
pun, hanya menjadi bahan ketawa dan lawak jenaka ramai saja jika
seorang menteri terpaksa turun naik mahkamah semata-mata kerana sebiji
telur penyu yang bukan enak sangat lazatnya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan