SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina
Othman Said bercadang untuk merujuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul
Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat dalam masa
terdekat.
Menurut Azalina, tindakan Izzah bertemu Puteri Sultan Sulu, Jacel Kiram
di Filipina bakal mengundang campur tangan luar memandangkan Malaysia
pernah diceroboh oleh Allahyarham Jamalul Kiram III pada 2013.
"Pencerobohan pihak Suluk di Lahad Datu (Sabah) adalah detik hitam bagi
Negara kita di mana kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air
gugur di tangan penceroboh.
"Justeru itu, tindakan perjumpaan Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul
Izzah) dengan kumpulan ini adalah amat mendukacitakan di mana beliau
langsung tidak memahami perasaan dan kemarahan rakyat Sabah terhadap
kumpulan penceroboh ini", katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, tindakan untuk membawa Izzah ke jawatankuasa itu adalah wajar, katanya.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut mempersoalkan motif Izzah mengadakan
pertemuan berkenaan di luar negara sedangkan Izzah sedia maklum bahawa
golongan itu pernah menggugat keselamatan negara.
"Sebagai seorang Ahli Parlimen beliau seharusnya tahu akan
tanggungjawab beliau terutamanya dalam soal kedaulatan Negara yang tidak
boleh dikompromi sama sekali. Bagaimana mungkin seseorang ahli Parlimen
sanggup berjumpa dengan ‘jurucakap’ kumpulan pengganas yang menceroboh
Negara kita, malahan memegang poster yang mempunyai perkataan – FILIPINO
FRIENDS?
"Apakah motif di sebalik perjumpaan dengan jurucakap kumpulan pengganas ini?", soal Azalina.
Dalam pada itu, Izzah yang juga Naib Presiden PKR pada kenyataan
medianya semalam berkata, beliau diraikan dalam majlis anjuran oleh
Majlis Hal Ehwal Filipina dan Asian Institute for Democracy, Pejabat
Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.
Malah katanya, pihak penganjur juga yang menentukan senarai pemimpin yang ditemuinya.
Semuanya bermula apabila Izzah memuat turun sebuah gambarnya bersama
anak perempuan kepada Jamalul Kiram III ketika mengunjungi Manila 9
November lalu yang mendapat kecaman pelbagai pihak.
Gambar mengenai pertemuan itu di Filipina telah dimuat naik oleh Jacel dalam akaun Facebook beliau pada 9 November lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan