KUALA LUMPUR, Ahli keluarga bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan jelajah ‘Mock Penjara #BebasAnwar’ esok yang bersamaan dengan hari ke-272 beliau berada di dalam penjara.

Acara berkenaan akan memperlihatkan pelancaran penjara buatan mudah alih yang akan disertai oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dari DAP, PKR dan Amanah dan juga aktivis.

Ia akan berlangsung di kediaman Anwar di Bukit Segambut.

Berikutan pelancaran itu, penjara buatan berkenaan akan dibawa ke seluruh negara bagi mengumpul satu juta tandatangan untuk membebaskan Anwar.

Jadual jelajah itu juga akan turut dilancarkan esok.

Pada 10 Februari lalu, Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sejak hukuman tersebut berlangsung, anak perempuan kedua Anwar, Nurul Nuha telah mengetuai kempen March to Freedom untuk membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.