AZIZI SUNIP
Anak Perdana Menteri,
Nazif Najib (kanan) turut tidak bersetuju terhadap tindakan pengharaman
vape dan menyokong agar vaping dilakukan dengan cara yang lebih
bertanggungjawab serta beretika terutamanya oleh golongan muda. - Kredit
foto Facebook Nazif Najib
KUALA LUMPUR, Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat serbuan ke atas peniaga vape mendapat reaksi kurang senang orang ramai.
Yang terbaru, anak Perdana Menteri, Nazif
Najib menulis status di akaun Facebooknya yang berpendapat jika KKM
benar-benar serius untuk menangangi isu ini, dasar dan garis panduan
mengenai vape secara terperinci harus dirangka dan diperjelaskan untuk
tujuan penguatkuasaan undang-undang.
“Pendirian saya tetap teguh mengenai isu
vape dan perkara ini sememangnya perlu dipandang serius jika vape
disalahgunakan dengan dadah atau dijual kepada kanak-kanak dan remaja
bawah umur oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jelas Nazif lagi, serbuan yang dibuat ke
atas peniaga vape disifatkan sebagai tindakan melulu dan mendatangkan
kerugian kepada usahawan muda yang terlibat.
Dalam status Facebook yang terdahulu, Nazif menyatakan harapannya terhadap industri vape ini agar terus berkembang di Malaysia.
Beliau turut mengakui tidak bersetuju
terhadap tindakan pengharamannya dan menyokong agar vaping dilakukan
dengan cara yang lebih bertanggungjawab serta beretika terutamanya oleh
golongan muda.
Kementerian Kesihatan pada Khamis lalu,
melancarkan serbuan pertama terhadap berpuluh-puluh premis menjual
perisa vape yang mengandungi nikotin di seluruh negara.
Tindakan ini adalah kempen membanteras
penjualan cecair nikotin tanpa lesen di seluruh negara yang termaktub di
bawah Akta Makanan 1983 dan Akta Racun 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan