KUALA LUMPUR - Ketua Whip BN, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata langkah kerajaan melantik bekas pemimpin BN sebagai Duta Khas atau Penasihat Perdana Menteri bertepatan dengan kehendak semasa.
Beliau berkata kelebihan yang dimiliki oleh mereka ini khususnya bekas menteri dapat meningkatkan kemampuan negara untuk bersaing di persada antarabangsa.
"Bila kita mempunyai seorang tokoh berlatar belakang (dikenali), berpengetahuan, mengenali orang, memahami isu, rapat dengan pimpinan (luar negara), (maka dia mampu) menerajui hubungan antara negara.
"Dengan adanya tokoh tertentu melalui hubungan peribadi dan kenalannya, ia akan memberi manfaat kepada negara," katanya kepada Sinar Online, di Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong semalam yang menggesa semua penasihat bertaraf 'menteri pintu belakang' perlu digugurkan dari Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.
Chin Tong berkata mereka didakwa menerima gaji lumayan sehingga mencecah RM27,000 daripada jawatan berstatus menteri.
Wakil rakyat DAP ini juga berkata, mereka bukan sahaja diberikan gaji yang lebih tinggi bahkan ia menyalahi amalan Kabinet.
Dalam pada itu, Shahrir berkata tindakan kerajaan itu perkara baharu bahkan ia diamalkan oleh negara lain untuk memastikan kepentingan negara tidak terjejas.
"Kita tak boleh tunggu saja dengan serahkan segala-galanya kepada Perdana Menteri dan jemaah menteri Kabinetnya.
"Kena ada gandingan pimpinan lama dan baharu, dulu pun ada peranan sebegini, bukan baharu," jelasnya.
Kata Shahrir lagi, kerajaan tidak mewujudkan jawatan khas untuk menjaga negara tertentu namun dengan melantik Duta kepada PM dapat melicinkan urusan antara negara.
"Kita tak boleh ketepikan sumbangan dan pengaruh mereka, kerana mereka berpotensi berikan pembangunan kepada ekonomi negara," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan