KUALA LUMPUR - Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) didakwa akan menyekat kebebasan maklumat dan mengakibatkan maklumat peribadi pengguna mudah digunapakai pihak luar untuk kepentingan negara mereka.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen berkata, pada dasarnya syarat-syarat TPP berkaitan dengan rahsia perdagangan di bawah Perkara 18.78 iaitu sesiapa yang mempunyai akses kepada rahsia perdagangan (didefinisikan sebagai maklumat perkilangan, perindustrian dan komersial) boleh dianggap sebagai penjenayah.
"Apa yang dibimbangkan, TPP tidak memberi perlindungan kepada para wartawan, penyelidik keselamatan termasuk pemberi maklumat. Sebagai contoh seorang wartawan yang membuat pendedahan mengenai sebuah syarikat yang memproses produk menggunakan bahan terlarang sekali gus menjejaskan kesihatan, dibawah TPP anda boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah.
"Kita juga bimbang kesan perjanjian ini ke atas perlindungan maklumat peribadi pegguna di negara ini. Di bawah TPP Malaysia perlu mengamalkan dasar terbuka dalam pemindahan maklumat elektronik ke negara-negara TPP yang lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, dasar terbuka tersebut akan membolehkan syarikat asing memindahkan maklumat peribadi pengguna negara ini ke luar negara.
"Syarat TPP juga tidak membenarkan undang-undang sesebuah negara menghadkan pemindahan maklumat elektronik ke luar negara (Perkara 14.13) yang bermaksud maklumat peribadi akan terdedah kepada undang-undang negara TPP lain.
"Sudah tentu, sebagai pengguna ada maklumat tertentu yang tidak mahu dikongsi dengan pihak lain," katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli turut mempersoalkan mengenai isu keselamatan pengguna, yang mana pihak lain boleh mengetahui pergerakan seseorang pengguna menerusi aplikasi seperti Waze atau Google Maps.
"Dengan syarat TPP ini, ia hanya akan mendedahkan kita kepada pihak luar sekali gus boleh merisikokan keselamatan seseorang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan