Oleh SUBKY LATIF
RUPA-rupanya GST, Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang dikutuk oleh rata-rata rakyat, seolah-olah penyelamat kepada ekonomi negara yang di ambang bangsat sekarang.
Mengikut pembentangan Bajet 2016, Perdana Menteri Najib menganggarkan pungutan GST 2016 nanti sebanyak RM225.7 bilion. Itu sekadar 6 peratus saja. Jika ia naik dan tidak mustahil, berganda lagilah pungutan cukai itu.
Pembodek Umno mengira, demikianlah tuah dan kebijaksanaan kerajaan pimpinan Najib bagi menyelamatkan negara.
Untuk masa sesak disebabkan oleh kejatuhan minyak dunia, kejatuhan nilai ringgit dan beban hutang yang bertimbun serta ketirisan pentadbir, bernafaslah kerajaan dengan GST itu tetapi ia tidaklah mencerminkan kebijaksanaan dan kepintaran kerajaan BN menangani ekonomi negara.
Dan sebenarnya tidak nampak kepintaran kerajaan mengurus ekonomi negara sejak Tun Razak mengambil alih pimpinan daripada Tunku Abdul Rahman.
Menjelang kemerdekaan tahun 1957, ekonomi negara bergantung kepada industeri bijih timah dan getah. Tanah Melayu sejak sebelum merdeka hingga dekad pertama kemerdekaan terkenal sebagai pengeluar utama bijih dan getah. Kelapa sawit datang kemudian.
Sekalipun industri getah menguncup menjelang merdeka disebabkan oleh saingan getah tiruan tetapi bijihlah pergantungan negara.
Minyak tidak diketahui lagi. Dengan bijih itu ekonomi kita stabil. Industri bijih rudum apabila Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri kerana dasarnya untuk mengalih pasar getah ditentukan oleh London ke Kuala Lumpur disabotaj oleh British.
Justeru negara dipancut minyak di Sabah, Sarawak dan Teengganu, maka keruntuhan industri bijih tidak menjadi kudis.
Malaysia hidup dan selamat oleh minyak.
Kerajaan dan Umno berbangga atas kestabilan ekonomi negara, kerana ia dikatakan justeru kepintaran BN memerintah.
Harga minyak masa itu sekitar tahun 70-an tidaklah sampai USD100 setong. Setong sekitar USD17 hingga USD20 sahaja. Dengan harga yang sedemikian saja cukup unuk menampung kestabilan negara.
Dan memanglah minyak mengajaibkan. Harganya sentiasa naik hingga melebihi USD100 setong. Minyak Patronas ada kelas. Harganya lebih baik daripada petrol biasa. Maka cerdiknya kerajaan, dijualnya minyak kita yang baik dan untuk keperluan negara dibelinya petrol biasa dengan harga yang lebih murah.
Jika mulanya dulu Malaysia jadi negara kaya disebabkan oleh getah dan bijihnya, lepas itu ia jadi negara senang dengan petrolnya. Kekuatan ekonomi itu bukanlah kerana kepintaran kerajaan menjana pendapatan dan hasil, tetapi kerana adanya bijih dan minyak. Kalau tidak ada bijih dan tidak ada minyak, tentulah kita dikenali sebagai negara miskin.
Bagaimana kalau Malaysia jadi seperti Singapura yang tidak ada hasil dan tiada barang mentah. Mungkin mampuslah kita agaknya.
Singapura, Hong Kong dan Taiwan mana hasilnya? Tetapi Singapura adalah kuasa ekonomi dan kuasa kewangan di Asia Tenggara. Ia sudah berpendapatan tinggi lama sebelum kita terfikirkan menjadi negara berpendapatan tinggi.
Hong Kong tanah tak ada, hasil bumi tak ada, ia jadi pusat ekonomi di Asia Pasifik bersama Taiwan.
Jika kita tengok pemimpin pintar, tengoklah Hong kong, Taiwan dan Singapura. Tanpa sumber asli mereka jadi negara berpendapatan tinggi.
Kita apabila minyak jatuh dan ekonomi dunia bermasalah, kita pun jadi macam nak mati. Pemimpin Malaysia seolah-olah mewarisi zaman janinnya di rahim ibu. Janin dijamin rezeki di rahim ibu.Tak payah buat apa-apa, rezekinya disalurkan melalui tali pusat. Apabila ia lahir rezekinya dijamin oleh ibu bapanya. Tak perlu fikir cari makan.
Apabila jadi pemimpin negara pun ia tak fikir rezeki kerana harapkan minyak. Apabila minyak jatuh duit tak ada, tiadalah ia memikir punca rezeki, ia kenakan GST kepada rakyat. Senangkah, nak mampuskah rakyat, tiada ia kisah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan