HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2015

Mata wang tunggal hanya jika negara Islam bersatu - Munir Majid

Dania Zainuddin, Astro Awani
Mata wang tunggal hanya jika negara Islam bersatu - Munir Majid
Munir yakin penggunaan mata wang tunggal di kalangan blok negara Islam tidak dapat dilaksanakan, memandangkan persekitaran blok negara Islam masih jauh dari keamanan. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem mata wang tunggal bagi blok negara Islam tidak boleh dilaksanakan selagi tiada persefahaman dan perpaduan antara negara-negara Islam.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC), Tan Sri Mohd Munir Majid berpendapat pembangunan komuniti ekonomi dalam blok itu juga perlu didahulukan sebelum melaksanakan sistem mata wang tunggal.

Jelas beliau, bagi mewujudkan sistem mata wang tunggal, ia memerlukan persetujuan pembangunan ekonomi bersama, dasar polisi fiskal serta komitmen dan pembangunan ke atas polisi yang dipersetujui.

Munir yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan ASEAN CIMB turut mengambil contoh usaha pembentukan sebuah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) juga tidak melihat penggunaan mata wang tunggal di rantau ASEAN dapat dilaksanakan.

"Tahap pembangunan dan sistem serta cara pengurusan ekonomi yang berbeza di setiap negara adalah sebab utama ia (penggunaan mata wang tunggal) tidak dapat dilaksanakan.

"Di Eropah juga, terdapat banyak cabaran dalam penggunaan mata wang Euro, terutamanya dalam isu polisi fiskal bersama kerana tanpa polisi fiskal bersama yang kukuh, pelaksanaan itu sukar untuk bertahan," tegas Munir.

Beliau juga yakin penggunaan mata wang tunggal di kalangan blok negara Islam tidak dapat dilaksanakan, memandangkan persekitaran blok negara Islam masih jauh dari keamanan.

"Jika dilihat, sangat jelas kesemua negara Islam tidak bersama dalam isu menyelamatkan orang Islam yang bermasalah.

"Lupakan kerjasama dalam memacu ekonomi menggunakan mata wang tunggal atau sedemikian, perjalanan kami masih jauh," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI, di sini hari ini.

Munir mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan penggunaan mata wang tunggal untuk blok negara Islam adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan sekarang.

Kenyataan itu dibuat pada sidang media selepas merasmikan Forum Ekonomi Islam Sedunia WIEF di ibu negara pada Selasa.

Tegas Munir, krisis dan pergolakan yang berlaku di antara negara-negara Islam perlu diselesaikan sebelum melaksanakan usaha membangunkan ekonomi termasuk sistem mata wang tunggal.
''Kita perlu selesaikan perkara yang lebih penting dan tunjukkan kebolehan untuk mengambil langkah seterusnya, yang lebih sukar," kata Munir lagi.

Beliau turut kecewa dengan negara-negara Islam yang bersikap negatif dalam membantu negara Islam lain yang bermasalah.

Tambahnya, cadangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar sistem kewangan Islam digunakan untuk krisis kemanusiaan, melalui penerbitan sukuk khas, wakaf atau zakat bagi membantu negara Islam yang bermasalah khususnya pelarian muslim merupakan satu langkah segera yang boleh dilaksanakan. 
 
 

Tiada ulasan: