TRONOH: Kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi
menyelaras hal ehwal Islam adalah penting dalam menghadapi pelbagai
ancaman yang menggugat kedudukan agama itu di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki berkata jabatan itu yang ditubuhkan dengan persetujuan Majlis
Raja-Raja Melayu, adalah agensi berperanan dalam perancangan, pengurusan
hal ehwal Islam dan pembangunan umat di Malaysia.
"Apabila kita lihat 14 negeri dengan sembilan Sultan di negara kita,
sudah tentu ada pelbagai pendekatan keagamaan, Islam dan sebagainya.
"Sebab itulah hasrat Majlis Raja-Raja adalah mesti wujud satu agensi
yang menyelaras. "...terutama dalam konteks kita berhadapan pelbagai
cabaran yang berbentuk ancaman, ekstremisme sama ada radikalisme ataupun
golongan yang memperlonggar agama seperti liberalisme, pluralisme, LGBT
(lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan sebagainya," katanya.
Beliau mengulas artikel sebuah portal yang memetik kenyataan anak
sulung Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfiq Ismail, yang mahu JAKIM
dimansuhkan kerana dilihat seolah-olah mencampuri kehidupan peribadi
rakyat negara ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival
Ibnu 'Auf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 1437H/2015M di Dewan
Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Canselor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.
Karnival berkenaan, yang berlangsung tiga hari bermula 19 November,
dianjur Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM (SDK JAKIM) dalam usaha
menyatukan syarikat korporat yang menganggotainya bagi melaksanakan
gerak kerja dakwah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan