Oleh: Ermizi Muhamad
KUALA LUMPUR- Kerajaan Pusat gagal menyelesaikan 465 buah projek membabitkan projek-projek pembangunan di Kedah walaupun segala peruntukan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke 9 dan 10 bagi negeri pentadbiran Umno Barisan Nasional itu.
Perkara itu diakui sendiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung di Dewan Rakyat pagi ini.
“Sehingga kini sebanyak 465 projek di bawah RMK9 dan RMK10 masih belum disiapkan dan 100 daripada jumlah itu akan diteruskan dalam RMK11,” jelasnya.
Mengulas kenyataan tersebut, Gooi turut mempersoalkan mengapa hanya sekitar 100 sahaja projek yang diteruskan kerajaan.
Namun, Menteri gagal memberikan sebarang respon mengenai perkara tersebut dan memohon kenyataan bertulis berhubung pertanyaan Biro Antarabangsa KEADILAN itu.
“Saya tiada sebarang maklumat itu, dan saya akan respon dalam jawapan bertulis,” jelasnya.
Antara projek besar yang dijalankan di negeri ini adalah Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Alor Setar dan Kompleks KDN Langkawi.
Projek itu diluluskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 April 2009 dan beberapa projek di negeri itu juga dipantau sebuah Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan di Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan