KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR - Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, beliau percaya lebih banyak aset negara akan dijual kepada syarikat asing bagi menutup hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, langkah 1MDB menjual aset penjana bebas (IPP) milik anak syarikatnya kepada konsortium China dan Qatar akan menyebabkan syarikat asing itu memiliki 100 peratus aset penjanaan tenaga.
“Sebelum ini kita tahu aset-aset penting negara seperti tanah-tanah yang mahal telah dipindahkan kepada 1MDB.
“Kemudian kita terkejut bila dana dari institusi rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga terpalit dengan 1MDB.
“Terkini, kita terpaksa pasrah menerima keputusan songsang menggadaikan keselamatan dan kelangsungan perbekalan elektrik negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB,” katanya pada kenyataan media.
Semalam Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.
Terdahulu, Rafizi memfailkan usul di parlimen untuk menghadkan bidaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada nilai RM8 bilion bagi menghalang kerajaan menggunakan TNB untuk membayar hutang 1MDB.
Bagaimanapun, usul tergempar untuk membincangkan keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti kepada syarikat asing ditolak Speaker Dewan Rakyat.
“Sepanjang perkara ini dibawa, saya kesal kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan Umno yang bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara.
“Saya pasti selepas ini lebih banyak harta negara akan dijual dan dilelong kepada syarikat asing demi untuk menutup lubang hutang 1MDB,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Menurutnya, penjualan aset Edra membawa kesan besar seperti kenaikan tarif elelektrik, kemasukan pekerja asing yang menjejaskan peluang pekerja tempatan dan lebih banyak kontrak IPP bakal diberi kepada syarikat asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan