HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2015

Saya akan 'ganggu' Arul sampai dia setuju

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akui tidak akan berputus asa dan terus berjuang bagi memastikan debat antaranya dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda menjadi kenyataan.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR sempat berseloroh akan 'mengganggu' Arul hingga beliau bersetuju namun belum memikirkan cara gangguan tersebut.

"Sebelum ini pun dia sudah setuju tanpa syarat. Namun saya belum fikir lagi tentang itu (bentuk gangguan).

“Balik nanti saya fikir macam mana nak ganggu dia. Saya pernah ada nombor telefonnya tapi sekarang dah tak ada, jadi, tak boleh nak ganggu dia melalui telefon," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Hari ini, Arul mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau menghormati keputusan Pandikar dan menolak untuk berdebat manakala debat itu hanya boleh dilaksanakan selepas pendengaran PAC memandangkan statusnya sebagai saksi siasatan 1MDB.

Sehubungan itu, Rafizi menasihatkan Arul secara sinis agar merujuk kepada 'political master' nya dan mendengar arahan.

"Sebab itu saya minta, dia kembali kepada 'political master' nya, bincang balik dan Arul, serahkan perkara ini kepada orang politik. Kamu makan gaji, dengar arahan orang politik.

"Saya nak ingatkan Umno-BN, 'political master' kepada Arul bahawa, jika Arul sudah menerima debat tanpa syarat dan tiba-tiba undur diri, seluruh dunia akan kata, 1MDB ada banyak benda yang disembunyikan," katanya.

Menyentuh soal persetujuan debat Arul tanpa syarat sebelum ini, Rafizi mempertikaikan maksud tanpa syarat yang tiba-tiba bersyarat.

"Kalau dia dah nyatakan persetujuan tanpa syarat, Sabtu lepas...tanpa syarat itu maksudnya memang tiada syarat. Sama ada kucing nak berbahas pun dia (Arul) boleh berbahas dengan kucing.

"Kenapa pula tiba-tiba tanpa syarat itu jadi 'ia mesti Tony Pua'?

"Dia ada kelebihan...dia ada segala maklumat, kami tidak ada apa-apa. Saya hanya akan tanya dan berbahas berdasarkan maklumat yang saya ada di sini dan berdasarkan pengetahuan saya sebagai seorang akauntan. Itu sahaja," katanya.

Tambahnya: "Sebelum ini, mereka takut kepada Tony sebab mereka bimbang Tony ada maklumat yang lebih kerana beliau adalah ahli PAC. Sekarang saya bukan ahli mana-mana, hanya rakyat yang berminat dan akan bertanya serta berdebat dengan Arul supaya kebenaran akan dibongkar."

Malah katanya, Arul perlu mempunyai sedikit keberanian untuk menjawab persoalan memandangkan 1MDB memiliki wang rakyat yang bukan sedikit.

"Ini bukan 'show'. Ini 'democracy in action'. Anda memiliki RM50 bilion duit kami, kenalah ada keberanian untuk datang dan jawab kepada rakyat.

"Kalau tidak, sia-sia rakyat bayar gaji beratus-ratus ribu sebulan kepada orang seperti Arul Kanda," katanya.

Pandikar sebelum ini memutuskan Tony tidak boleh berdebat secara terbuka mengenai 1MDB kerana statusnya sebagai Ahli PAC.

Oleh itu, Pakatan Harapan mengumumkan Rafizi sebagai pengganti namun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesahkan siaran langsung perdebatan 1MDB yang dijadualkan esok dibatalkan berikutan bukan Tony Pua yang bakal berdebat dengan Arul.


Tiada ulasan: