HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2015

AS yakin negara ambil bahagian akan sertai TPP

SINAR HARIAN



TPP


BANGKOK - THAILAND. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yakin semua negara yang mengambil bahagian akan mengesahkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang telah dicapai pada 5 Oktober lepas, walaupun terdapat cabaran. 

Timbalan Penolong Setiausaha Negara dan Pegawai Kanan bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik Ekonomi (APEC) AS, Matt Matthews berkata: "Saya yakin tentang pengesahan perjanjian TPP oleh semua negara yang mengambil bahagian. Ini tidak bermakna tidak banyak yang perlu dilakukan. 

\"Malah di negara kami sendiri, kami menjangka ia akan menjadi usaha utama untuk memastikan kami melakukan kerja yang baik dalam menjelaskan hasil sebenar

TPP dan manfaatnya."   

Beliau berkata demikian semasa taklimat pada 2 November mengenai mesyuarat dan sidang kemuncak pemimpin APEC di Manila yang dijadualkan berlangsung pada 16-19 November  di Pusat Media Asing di Washington. 

Transkrip taklimat itu diperoleh di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada beliau optimistik tentang proses pengesahan TPP terutamanya di Malaysia, negara yang dilihat oleh banyak pakar perdagangan sebagai salah satu negara yang akan menghadapi banyak cabaran dalam proses pengesahan TPP. 

Semasa ditanya jika mana-mana anggota APEC di Manila akan dapat bercakap mengenai minat mereka untuk menyertai TPP, Matthews berkata usaha mengembangkan  keanggotaan bukan tumpuan ekonomi yang mengambil bahagian pada masa ini. 

Beliau berkata setiap ekonomi menyertai TPP pada masa ini memberi tumpuan kepada satu perkara, iaitu, mendapatkan pengesahan daripada penamatan rundingan  dalam sistem mereka sendiri, dan itulah tumpuan AS. 

"Oleh itu, tumpuan kami tentunya untuk menyediakan segala-gala yang perlu dilakukan untuk mendapatkan pengesahan oleh Kongres Amerika Syarikat. Dan sehingga   dapat diselesaikan, kami tidak akan memberi tumpuan kepada negara-negara lain," katanya. 

"Kami mengalu-alukan minat ekonomi lain dalam APEC yang berminat untuk TPP, tetapi kami perlu memberitahu mereka sekarang bahawa kami memberi tumpuan   kepada usaha mendapatkan pengesahan itu," katanya.  

Negara-negara yang mengambil bahagian dalam TPP ialah Brunei, Chile, New Zealand, Singapura, Australia, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam.  

Pada 5 Oktober 2015, negara-negara telah mencapai persetujuan, selepas tujuh tahun rundingan, tetapi TPP masih memerlukan pengesahan oleh semua negara. 

Beberapa negara telah menunjukkan minat untuk menyertai TPP seperti Korea Selatan, Colombia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Taiwan. - Bernama


Tiada ulasan: