Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu pihak polis lebih tulus dengan siasatan berhubung pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang ditemui mati dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor
Katanya, penelitian perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Teliti dahulu hasil siasatan dengan lebih telus, ini perlu diambil perhatian oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang hadir sama berkata tanggungjawab polis adalah untuk memastikan segala siasatan dan tindakan lanjut dibuat dalam bentuk paling telus.
"Kes ini berkepentingan yang tinggi dan mendapat perhatian dunia, maka ia perlu dua kali lebih telus.
"Ketua polis negara dan peguam negara tidak mengambil pendekatan yang konfrontasional dengan tuduhan.
“Betul ia tuduhan yang kontroversi tapi jangan ditolak mentah-mentah," katanya sambil menambah tindakan itu supaya meyakinkan rakyat dan dunia bahawa semua proses siasatan dijalankan secara adil.
Akuan bersumpah
Semalam, adik mendiang Kevin - Charles Suresh Morais dalam akuan bersumpah mendakwa dakwaan draf kertas pertuduhan ke atas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didedahkan oleh laman web Sarawak Report mempunyai singkatan tandatangan (initials) abangnya.
Beliau juga mendakwa memiliki pen drive yang diberi oleh abangnya sebelum beliau menghilangkan diri.
"Ia kini selamat di Amerika Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada saya berhubung akuan sumpah berkanun ini.
"Kandungan pen drive itu dengan jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan bahawa Kevin telah diarahkan melakukan sesuatu sebelum kematiannya yang dikaitkan dengan seseorang personaliti yang berkuasa di Malaysia," kata Charles dalam akuan sumpah berkanun itu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini berkata dakwaan Charles itu adalah sangat melampau dan tidak masuk akal.
Katanya, apabila Charles membayangkan bahawa tertuduh yang didakwa di mahkamah tidak terbabit dalam pembunuhan Kevin, beliau dilihat cuba mengganggu perbicaraan pembunuhan Kevin yang belum selesai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula meminta Charles berkongsi maklumat jika dakwaan dan pen drive itu adalah benar.
Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan siasatan dan mengingatkan adik TPP itu bahawa adalah menjadi kesalahan jenayah sekiranya beliau menyembunyi bukti.
Hukuman mati mandatori
Pada September lalu, enam lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh TPP itu manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.
Tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mereka adalah G Gunasekaran, 47, R Dinishwaran, 23, A Thinesh Kumar, 22, M Vishwanath, 25, S Nimalan, 22, dan S Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, Selangor.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 302 kanun sama.
Majistret Siti Radziah Kamardin kemudiannya menetapkan 30 November ini untuk sebutan kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan