PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak
mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke
universiti awam.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata
antara rasional UEC tidak diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke
universiti awam termasuk sijil itu tidak selari dengan kurikulum
kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.
"Selain itu, Bahasa Melayu dalam UEC tidak setara dengan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum UEC
adalah tidak mencukupi.
"Syarat am kelayakan masuk universiti awam hendaklah lulus SPM dengan
kepujian dalam Bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan UEC bagi
diterima pakai kelayakan masuk ke universiti awam sekiranya pindaan
terhadap kandungan kurikulum UEC dibuat agar selari dengan Dasar
Pendidikan Kebangsaan.
UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian
Cina Malaysia (MICSS) dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem
pendidikan kebangsaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan