HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 November 2015

Zuraida: PKR tidak 'tersepit' antara PAS-DAP-Amanah

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menegaskan parti itu tidak 'tersepit' dek perbalahan yang berlaku dalam kalangan parti-parti pembangkang.
 
Sebaliknya jelas beliau, PKR harus memainkan peranan yang lebih besar sebagai satu-satunya parti yang terdiri dari pelbagai bangsa di negara ini.
 
"Kita tidak kata PKR tersepit tapi kita harus main peranan yang lebih berjiwa besar memandangkan dalam parti-parti yang ada walaupun mereka adalah parti yang berbilang kaum kita masih lihat lagi ada pola-pola seperti DAP lebih ke Cina manakala PAS lebih kepada Melayu.
 
"Tapi PKR sahaja parti yang betul-betul refleks mencerminkan berbilang bangsa," katanya kepada Antarapos.
 
Justeru Ahli Parlimen Ampang ini berkata PKR tidak akan terikut-ikut dengan perbalahan yang berlaku di antara PAS, DAP dan juga Parti Amanah Negara (Amanah).
 
"Jadi kita kena jaga berbilang bangsanya PKR ini dan kita perlu menjaga sebaik mungkin untuk parti ini. 
 
"Oleh kerana itu kita tidak menetapkan bahawa kita akan berkawan dengan A dan bermusuh dengan B," katanya.
 
Beliau juga menyifatkan perbalahan berterusan sesama parti pembangkang tidak bijak dan perlu dihentikan.
 
"Itu tidak bijak," katanya.
 
Mengulas lanjut Zuraida berkata dalam tempoh ini sewajarnya semua parti pembangkang memberi tumpuan untuk menyerang Barisan Nasional (BN) selain membongkarkan skandal-skandal yang berlaku dalam pentadbiran.
 
"saya lebih suka kalau parti pembangkang ini fokus untuk menyerang BN, membongkar skandal dan sebagainya.
 
"Itu fokus nombor satu, yang keduanya menguatkan parti dan janganlah kita berbalah, menuduh dan menuding jari yang A tidak betul, B tak betul atau C kata A tak betul.
 
"Itu tak betul dan tidak bagus untuk rakyat," katanya.
 
Namun wakil rakyat ini percaya setiap perbalahan itu akan terhenti dan parti pembangkang akan mencapai satu kerjasama untuk menyerang BN.
 
"Tapi saya masih puas hati sebab ini adalah proses kematangan, jadi satu ketika yang akan datang sebelum PRU14 saya percaya parti pembangkang ini PAS, DAP, PKR dan Amanah ini akan dapat satu kerjasama dan persetujuan yang meletakkan kepentingan rakyat.
 
"Insya-Allah akan dapat satu persetujuan yang positif," katanya.
 
Umum mengetahui rakan sekutu PKR, PAS dan DAP kini melancarkan perang dingin sesama mereka selepas bercanggah pendapat berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.
 
Perang dingin itu membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat.
 
PAS juga enggan menghulur kerjasama dengan parti serpihannya, Amanah kerana menganggap parti itu adalah 'khianat'.
 
Amanah kini menyertai PKR dan DAP dalam gagasan baru Pakatan Harapan (PH).
 
 

Tiada ulasan: