HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2016

Demi rakyat, Raja-Raja bersuara!

OLEH Raja Bahrin Shah


Raja-raja Melayu telah memilih untuk bersuara demi rakyatnya dan rakyat perlu menyokong.

Untitled-1raja-bahrin_raja-melayu_1mdb_600


Banyak mata yang terbuka luas apabila Majlis Raja-Raja “menasihatkan” kerajaan agar menyelesaikan segera isu 1MDB beberapa bulan yang lalu. Kini, Istana Kedah pula memainkan peranan yang cukup positif dan proaktif di dalam menguruskan krisis Menteri Besar Kedah bagi memastikan proses demokrasi dituruti serta kepentingan rakyat diberi perhatian.

 Hendak menurunkan Menteri Besar pun ada peraturan yang mesti di ikut. Mengejutkan? Adakah ia merupakan satu petanda bahawa akan ada lagi tindakan yang tidak dijangka daripada pemerintah Melayu? Sekiranya tindakan ini merupakan satu perkembangan yang sihat, rakyat harus mengalu-alukan senario yang baru ini demi untuk Malaysia yang lebih baik.

Hari ini, rakyat semakin bosan dan jemu dengan tindakan kerajaan yang menjadikan adat sebagai satu “rubber stamp”, di mana sistem semak dan imbang semakin terhakis peranannnya. Beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat bagaimana khidmat Peguam Negara dihentikan secara tiba-tiba, Penolong Pengarah Polis bahagian Perkhidmatan Khas (Special Branch) dipindahkan serta merta, pegawai kanan SPRM dipindahkan secara tiba-tiba dan Timbalan Perdana Menteri serta Naib Presiden UMNO dipecat daripada jawatan mereka di dalam kerajaan. Persamaan situasi di antara mereka semua adalah, mereka bersuara tentang 1MDB!

Adakah para Pemerintah Raja-raja Melayu terkecuali daripada tindak balas kerana bertitah tentang 1MDB? Tidak semestinya. Perdana Menteri telah memberikan tekanan melalui Akta Majlis Keselamatan Negara yang diluluskan pada sesi Parlimen Disember 2015 yang lalu.

Melalui Akta ini, sebarang pengisytiharan darurat tidak perlu melalui kelulusan dan perkenan daripada Yang DiPertuan Agung – YDPA, bahkan lebih teruk, hanya Perdana Menteri yang layak melakukan sedemikian (mengisytiharkan darurat) dan berhak melantik ahli majlis keselamatannya sendiri. Peranan Raja-raja sebagai sebahagian proses semak dan imbang dihapuskan, sayap mereka telah dipatahkan oleh Perdana Menteri!

Adakah Raja-raja hanya akan berdiam diri? Keadaan pada masa kini menunjukkan sebaliknya. Krisis Kedah hanyalah satu permulaan walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Seorang Sultan daripada selatan tanah air juga telah menyatakan komitmennya untuk membangkitkan isu JAKIM di dalam Persidangan Raja-Raja Melayu pada bulan Februari nanti. Sultan sebagai Ketua Agama Islam kelihatan tidak senang dengan beberapa tindak-tanduk JAKIM kebelakangan ini. Ada petanda menunjukkan bahawa Raja-raja Melayu akan membuat beberapa pendirian di dalam Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu yang akan datang.

Rakyat seharusnya gembira dan mengalu-alukan perkembangan ini. Institusi Raja-raja merupakan harapan terakhir kita memandangkan pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan kita sebagai rakyat tidak lagi berperanan seperti yang sepatutnya. Beberapa kejadian kebelakangan ini telah membuktikannya.

Tiada lagi apa yang dikatakan sebagai pengasingan kuasa di dalam sistem demokrasi kita. Mungkin inilah harapan kita. Kita semua menantikan hasil daripada “pertarungan” ini dan berharap agar para Sultan akan menjadi penyelamat kita, atau jika tidak, kita harus bersedia untuk berhadapan dengan kuasa mutlak pemerintah UMNO-BN pada masa akan datang. Seperti kata pepatah, kuasa yang mutlak akan menyebabkan kerosakan yang mutlak ( absolute power corrupts absolutely).. bahkan mungkin untuk selamanya.

Malaysia telah berhadapan dengan satu bencana demi bencana, daripada satu skandal kepada skandal yang lain. Berapa banyak lagi harga yang perlu kita bayar di atas semua kerosakan ini? Setiap orang mempunyai had toleransi mereka yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, masih ada harapan untuk kita sebagai rakyat Malaysia. Raja-raja telah memilih untuk bersuara demi rakyatnya. Rakyat harus bangkit menyatakan sokongan di belakang para Raja-raja.

Apabila Raja-raja bertitah dengan suatu suara bersama rakyat-rakyat mereka, seluruh dunia akan mendengar dan akur. Raja-raja dan rakyat tidak harus dipisahkan.

*Penulis adalah Ahli Parlimen AMANAH Kuala Terengganu

Tiada ulasan: