HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

Dey Bangla! Apahal masuk sini?



Oleh Ronasina


Tanah semenanjung ini subur dan makmur. Kaya dengan khazanah alam di tanah, di bukit dan gunung, di sungai dan lurah.Sejak zaman dahulu lagi tanah semenanjung ini menjadi tumpuan dunia.

Terletak dalam Gugusan Nusantara dan kedudukan yang strategik menjadikan Melaka suatu ketika dahulu sebagai pelabuhan tempat berlakunya urusan perdagangan dunia.

Segala kapal di seluruh negara dalam dunia ini singgah di Melaka dek kerana kedudukannya yang strategik, pentadbirannya yang cekap dan politiknya yang stabil. Jika tiada faktor yang disebutkan tadi adalah mustahil kapal dagang akan berlabuh di Melaka pada ketika itu.

Di tanah semenanjung inilah berlakunya perniagaan, pertukaran adat, silang budaya, penyebaran agama dan keilmuan.

Termasuklah kaum imigran yang berhijrah dan terus tinggal di tanah semenanjung yang penduduknya lemah-lembut, terbuka serta mengalu-alukan.

Imigran dan pedagang dari Tanah Jawa, Arab, China, Siam, Feringgi berhijrah dan setelah berasa mesra dan serasi terus menetap di tanah semenanjung ini.

Sehinggalah seterusnya berlaku pada zaman pemerintahan British yang membawa buruh dari India untuk kerja-kerja perladangan dan buruh dari China yang bekerja di lombong-lombong bijih timah.

Apabila British setuju memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu, kaum buruh ini khuatir dengan status mereka dan memohon kepada British untuk tinggal di sini dan minta dirangka perlembagaan bagi menjamin kedudukan mereka.

Dengan itu maka terbentuklah Perlembagaan Persekutuan dari Suruhanjaya Reid yang menggariskan hak-hak buruh dari India dan China ini. Mereka dijamin untuk terus tinggal di sini, menjalankan aktiviti perniagaan dan pekerjaan serta bebas mengamalkan kepercayaan agama dan adat resam mereka.

Sehingga hari ini setelah lebih lima puluh tahun merdeka, negara Malaysia hidup aman damai dengan rakyat berbilang kaum dan agama. Melainkan kekacauan politik yang sengaja dimainkan untuk mewujudkan keresahan, suasana sebenar di bawah sini rakyat Malaysia jelas amat cintakan perpaduan.

Justeru dalam isu kemasukan lebih sejuta warga kerja dari Bangladesh yang heboh hari ini bagi saya, adalah ulangan sejarah kemasukan buruh asing semasa zaman British dahulu. Putaran sejarah sentiasa berlaku dalam tempoh lima puluh ke seratus tahun. Ini biasa bagi sebuah negara yang baru dibentuk.

Tidak salah jika warganegara menzahirkan rasa kebimbangan dan tergugat tetapi rakyat mestilah bijak meletakkan telunjuk kepada siapa hendak ditudingkan kesalahan.

Rakyat perlu tegas mempersoalkan kerajaan dalam isu ini, dan bukannya melemparkan hinaan yang merendahkan keinsanan dengan gelaran ‘Bangla’ atau ‘Indon’. Apatah lagi mereka yang selalu mengajak kita membantu ‘saudara kita’ di Gaza atau Syria. Besar sangatkah kita dengan berlagak menghina dan memperlekehkan orang lain?

Yang patut kita perjuangkan ialah hak kita sebagai rakyat, gaji minimum. Kaum buruh ini juga ditindas dengan isu pemerdagangan manusia. Pekerjaan kita dicuri oleh mereka, itu yang kita nampak.

Tetapi kaum pemodal yang menyingkirkan kita dan mengambil mereka. Mereka pula dibayar upah murah, diperah bekerja semaksimumnya dan diberi tempat tinggal yang teruk tidak setaraf sebagai manusia bertamadun. Ini permasalahan sebenarnya.

Bukan warga Bangladesh sahaja, bagaimana dengan pendatang dari China yang masuk dan hilang tidak keluar semula? Ke mana? Apakah pelacuran satu profesion atau satu bentuk penganiayaan?

Mungkin kerana kita wujud pada hari ini maka kita menyangka masalah sebegini hanya berlaku pada waktu ini. Sejarah akan berulang. Lihatlah sejarah dunia mahupun tempatan, dalam tempoh yang dikatakan tadi akan berlaku putaran, perubahan politik, evolusi budaya bersulam dengan krisis identiti dan kecelaruan adaptasi.

Kalau dahulu kaum asal menerima penghijrahan orang Melayu dan Tanah Jawa yang datang dari rumpun nusantara yang sama, kemudian hidup rukun bersama pendatang Arab, Siam, China, India, Portugis dan Pakistan yang sudah menjadi warganegara adalah tidak mustahil suatu hari nanti generasi kedua pendatang ini yang sudah berkeluarga menuntut hak kewarganegaraan di sini.

Kita wajar bersedia. Persaingan semakin sengit namun kita harus bijak bertindak dan bergerak tepat ke sasaran dalam mempertahankan hak. Bangkitkan referendum dan perjelaskan prinsip. Boleh masuk bekerja tetapi tegaskan jangan mencampuri urusan politik negara. Jangan terlibat dalam menjadi pemilih selagi bukan bertaraf warganegara.

Kita perlu fokus dengan isu dan sasaran bukannya sembrono menghina kemanusiaan dengan “Dey Bangla! Apahal masuk sini?”

@ronasina merupakan pelukis/ penulis/ aktivis dan pengasas kempen Hope2Walk kesedaran tentang Cerebral Palsy

Tiada ulasan: