HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Februari 2016

KENAPA 40 TAHUN?

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Sabtu ini UMNO akan mengadakan majlis kesyukuran sempena 40 tahun penglibatan Najib Razak dalam politik yang bermula pada 1976 ketika beliau mula-mula bertanding dalam pilihanraya menggantikan tempat bapanya, Allahyarham Tun Razak.

Majlis yang diadakan di PWTC itu bermula jam 6 petang, dimulai dengan solat maghrib, bacaan Yassin, doa selamat, jamuan makan dan ucapan.

Surat jemputan kepada pimpinan UMNO seluruh negara yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung perkara itu sudah pun dikeluarkan sejak kira-kira seminggu yang lalu dan kini didapati bersepah-sepah di media sosial.

Meraikan hari kelahiran atau ulangtahun perkahwinan memang perkara biasa bagi sesiapa, tetapi barangkali tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini meraikan berapa lama penglibatan mereka dalam dunia politik.

Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi, dua bekas Perdana Menteri yang masih hidup dan lebih berliku perjuangan politik mereka, tidak kedengaran ada berbuat demikian ketika berkuasa dahulu.

Tetapi kenapa Najib mahu tempoh penglibatannya dalam politik diraikan dan mengapa pula  angka 40 tahun itu jadi pilihan? 

Kenapa tidak ditunggu sehingga usia karier politiknya mencecah 45 atau 50 tahun? Atau kenapa ketika tempohnya 30 atau 35 tahun dulu tidak diraikan?

Jika ada yang merasakan wujudnya 1MDB sehingga berhutang RM42 bilion dalam tempoh enam tahun dan keupayaan Najib mendapat derma RM2,600 juta sebagai antara perkara-perkara pelik dalam negara, meraikan usia penglibatan dalam politik seorang Perdana Menteri mungkin merupakan satu lagi tambahan kepada kepelikan itu.

Adakah ini merupakan tanda-tanda tahun terakhir keraian penglibatan Najib dalam politik mahu diraikan atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri?


Tiada ulasan: